Aduan bertimbun selepas kontrak pesuruhjaya integriti ditamatkan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Semua enam pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) ditamatkan, menyebabkan badan itu tidak dapat bertindak ke atas aduan-aduan salah laku terhadap agensi-agensi penguatkuasaan dalam tempoh 3 bulan lepas, FMT difahamkan.

-Advertisement-

Kontrak 3 tahun 6 orang berkenaan – Ketua Pesuruhjaya Abdul Aziz Abdul Rahim, Leong May Chan, Lee Sow Siong, Sabariah Hassan, James Nayagam dan Abang Ekhsan Abang Othman – ditamatkan pada Oktober lepas.

“Mereka terima surat memaklumkan kontrak mereka berakhir pada 30 Sept 2019,” kata orang dalaman SIAP kepada FMT.

Dalam surat yang dilihat FMT, tiada penjelasan diberikan untuk penamatan itu.

Menurut Akta SIAP 2009, suruhanjaya itu diberi kuasa untuk menyiasat dan menjalankan perbicaraan ke atas aduan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan termasuk pasukan polis.

Sumber memberitahu FMT tugas utama itu tidak dapat dijalankan tanpa pesuruhjaya, yang diberi kuasa untuk membuat keputusan terhadap kes.

Ini bermakna pegawai SIAP boleh menyiasat aduan tetapi tidak boleh ambil sebarang tindakan lanjut.

Akibatnya, terdapat lantukan kes-kes belum selesai serta pertanyaan mengenai kemajuan aduan-aduan terhadap penguatkuasa-penguatkuasa bermasalah.

-Advertisement-

Kemungkinan penamatan itu berkaitan pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), yang akan mengambil alih peranan SIAP.

“Tetapi selagi ia belum dibentuk, tidak masuk akal menamatkan kontrak-kontrak pesuruhjaya itu,” kata sumber itu.

Satu rang undang-undang menubuhkan IPCMC tertangguh 2 kali tahun lepas, dan dijadualkan akan dibentangkan lagi apabila Dewan Rakyat bersidang Mac ini, disebalik ketidaksepakatan antara anggota jawatankuasa dwipartisan Parlimen yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

SIAP menerima ratusan aduan daripada masyarakat. Tahun lepas, ia menerima hampir 1,000 aduan.

FMT sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan respon.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan menubuhkan suatu jawatankuasa aduan bagi menangani salah laku 20 agensi penguatkuasaan, selain polis.

Mahathir berkata ia akan ditubuhkan secepat mungkin berikutan SIAP akan dinaik taraf kepada IPCMC. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427