KUALA LUMPUR: Perubahan syarat bagi permohonan program Malaysia My Second Home (MM2H) akan menarik lebih ramai peserta berkualiti menyertainya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata program MM2H bertujuan menarik minat rakyat luar negara menghabiskan usia persaraan mereka atau masuk ke Malaysia dengan membawa kepakaran diperlukan.
Katanya, antara perubahan syarat yang dikenakan adalah menaikkan jumlah pendapatan dan nilai aset cair serta mempunyai akaun simpanan tetap berjumlah sekurang-kurangnya RM1 juta.
“Peserta mesti lulus tapisan keselamatan kerana sebelum ini ada yang lulus tetapi rupanya terbabit dalam aktiviti pengintipan.
“Oleh itu, kita ketatkan syaratnya, rasionalnya kita harap untuk mendapat peserta yang betul-betul berkualiti dan membolehkan Malaysia bersaing dengan negara lain yang turut menawarkan program sama,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung rasional perubahan terkini yang dilakukan terhadap program MM2H.
– Berita Harian