MUAR: Seorang lelaki yang lebih dikenali dengan jolokan ‘Abang Bas’ mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Prosiding hari ini adalah sebutan semula kes mengikut Seksyen 233(1)(a) akta berkenaan yang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Batu Pahat yang dibacakan pada 11 September lalu, selain untuk serahan dokumen berkaitan dua pertuduhan sebelum itu.
Pada prosiding sama, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu susulan beberapa dokumen belum lengkap.
Peguam Muhammad Qayyim Saiful Bahari yang mewakili ‘Abang Bas’ bagaimanapun tidak membantah permohonan dibuat pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula bagi semua kes itu.
Pada 10 September lalu, Abang Bas berusia 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, selain Seksyen 15(a)(iii) akta sama.
Tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum Hakim Sayani Mohd Nor membenarkannya diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan ini.
Sehari kemudian, dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan membuat pengakuan sama serta diikat jamin RM10,000.
Bagaimanapun, kegagalan melunaskan ikat jamin menyebabkan dia dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.
Pada 17 September lalu, ‘Abang Bas’ dibebaskan sementara selepas melunaskan keseluruhan ikat jamin dikenakan terhadapnya.
Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
-BeritaHarian