KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April ini meskipun Aaron masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu.
Aaron yang mengalami kecederaan itu ketika saingan Masters Orleans dan Seluruh England baru-baru ini sudah kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kejohanan yang menyamai tahap Super 1000 itu.
Di Masters Orleans dan Seluruh England, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking keenam dunia tersingkir di pusingan pertama.
“Saya akan pergi (BAC),” kata Aaron ringkas ketika ditanya sama ada akan beraksi di BAC atau sebaliknya, selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, berkata meskipun belum pulih sepenuhnya tetapi keadaan Aaron kini lebih baik berbanding ketika di Seluruh England dan Masters Orleans.
“Aaron dipantau rapi oleh pasukan fisioterapi dan tidak memerlukan pembedahan kerana kecederaannya tidak serius. Fokus utama sekarang adalah untuk membantunya pulih dari segi mental selepas kekalahan awal sebelum ini.
“Saya percaya Aaron-Wooi Yik mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik di Kejohanan Asia kali ini,” kata Herry yang digelar jurulatih Naga Api.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di BAC adalah muncul naib juara pada edisi 2022 manakala tahun lalu mereka terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut akan diwakili tiga lagi beregu lelaki iaitu Sze Fei-Izzuddin, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dalam kejohanan di Ningbo.
-BeritaHarian