SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mempertimbangkan semula tarikh cuti Aidiladha bagi memberi peluang kepada warga pendidik pulang berhari raya.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya mencadangkan supaya tarikh 30 Julai ini dijadikan cuti khas Hari Raya Aidiladha dan tarikh 3 Ogos sebagai cuti pelepasan.
Katanya, hal ini bagi memastikan guru dan orang ramai pulang berhari raya di kampung setelah
mereka tidak dapat merayakannya pada hari raya Aidilfitri yang lalu.
“Langkah pemberian cuti khas ini adalah sebagai ganti cuti persekolahan yang sepatutnya berlaku pada tempoh hari raya Aidiladha serta memberi peluang orang ramai yang sudah merancang melaksanakan ibadah korban bersama keluarga.
“Kami berpendapat jika KPM keberatan untuk memberikan cuti khas pada hari raya Aidiladha, kementerian juga boleh mengurangkan hari cuti persekolahan bulan Ogos dari 5 kepada 4 hari,” katanya.
-BH