MDEC umum geran SAG bantu PKS lakukan lonjakan digital

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini mengumumkan mengenai tawaran Geran Automasi Pintar (SAG) #SMART yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melakukan lonjakan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata ini penting bagi memastikan PKS terbabit dapat mengharungi perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, SAG yang berkonsepkan pendekatan perkongsian itu membabitkan kerajaan dan PKS dengan matlamat untuk mendorong usaha pendigitalan perniagaan di Malaysia.

-Advertisement-

“SAG bagi sektor perkhidmatan ini sememangnya diperlukan kerana terdapat banyak PKS yang sedaya upaya cuba untuk bertahan dalam tempoh mencabar ini.

“Malah, banyak perniagaan lain juga bercadang untuk beroperasi secara digital dalam usaha mengatasi cabaran yang boleh menjejaskan operasi serta pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Surina, SAG juga merupakan inisiatif pemberian geran berdasarkan hasil yang mensyaratkan projek-projek terbabit mesti mencapai faedah digitalisasi tertentu seperti peningkatan pendapatan, penjimatan kos perniagaan, pengurangan proses kitaran serta tempoh bekerja.

-Advertisement-

 

“Pengenalan geran ini juga tepat pada masanya untuk perniagaan kerana dapat memberi mereka sokongan yang diperlukan bagi melakukan lonjakan digital bagi berdepan era Revolus Industri 4.0,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua PKS dalam sektor perkhidmatan dipelawa untuk menyertainya dengan menyemak kelayakan masing-masing di mdec.my/sag.

“PKS yang berminat dan terbukti memenuhi syarat boleh menghantar permohonan secara terus kepada MDEC,” katanya.

Antara syarat terbabit adalah perniagaan perlu diperbadankan di Malaysia, mempunyai modal berbayar sebanyak RM50,000 dan pegangan ekuiti sebanyak 51 peratus perlu dimiliki oleh rakyat tempatan.

Menurutnya, antara perniagaan PKS dalam sektor perkhidmatan yang layak bagi SAG itu adalah peruncitan, borong, makanan dan minuman, pelancongan, logistik, pengangkutan, pendidikan, penjagaan kesihatan, hartanah dan perkhidmatan kewangan profesional.

“SAG itu merangkumi 50 peratus daripada kos projek atau sehingga had pemberian maksimum sebanyak RM200,000, bergantung mana lebih rendah.

“Oleh kerana ini merupakan geran padanan, pemohon yang berjaya perlu menyediakan baki 50 peratus kos projek,” katanya.

Selain itu, kata Surina, PKS terbabit juga perlu mematuhi syarat ketat membabitkan tempoh masa projek iaitu satu hingga tiga bulan.

“Menerusi proses itu, MDEC akan memastikan PKS terbabit dapat mendigitalkan perniagaan dengan segera selain mempertingkat usaha untuk mengubah operasi mereka,” katanya.

Pada masa sama, katanya, dapat membolehkan perniagaan menjadi lebih lestari selain membantu usahawan terbabit menemui sumber pertumbuhan, pendapatan serta pengembangan ke pasaran baharu.

PKS sektor perkhidmatan juga digalakkan menyertai program-program peningkatan kemampuan perniagaan menerusi pendigitalan yang dikendalikan oleh MDEC seperti ‘100 Go Digital’ dan Program Percepatan Transformasi Digital 2.0, kata beliau.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427