Henti penggambaran jika ingkar SOP

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyerbu lokasi penggambaran ketika syarikat produksi rancak melakukan penggambaran selepas tiga bulan terhenti akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

FDAM meninjau sejauh mana syarikat produksi membiasakan normal baharu termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam penggambaran.

Mereka membuat lawatan mengejut ke tiga lokasi penggambaran drama sekitar Selangor sebagai langkah memantau praktik pematuhan SOP penggambaran yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak 10 Jun lalu.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Mat London berkata, lawatan mengejut itu perlu dilakukan untuk meninjau sejauh mana produksi patuh kepada SOP ditetapkan.

“Senarai produksi drama yang sedang melakukan penggambaran sudah ada di tangan kami. Cuma, konsep lawatan mengejut ini tidak akan diberitahu awal.

“Tiba di lokasi tertentu barulah kami akan maklumkan kepada syarikat produksi yang ada berdekatan.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim membuat lawatan mengejut ke tiga lokasi penggambaran sekitar Selangor. - Foto FDAM
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim membuat lawatan mengejut ke tiga lokasi penggambaran sekitar Selangor. – Foto FDAM

“Kami mahu melihat dengan mata sendiri bagaimana persediaan mereka dalam mematuhi SOP,” katanya kepada BH Online.

Setakat ini, Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan produksi SOP penggambaran.

“Kami bangga dengan kerjasama diberikan syarikat produksi yang sedang giat melunaskan kerja penggambaran.

“Mereka ikut syarat dalam SOP. Itu yang sepatutnya diamalkan. Andai kata ada syarikat produksi sebaliknya, kami akan memberikan nasihat. Kerajaan memberi kelonggaran untuk bekerja, jadi patuhilah sebaik mungkin,” katanya.

Tambahnya lagi, jika ada mana-mana syarikat produksi melanggar SOP, FDAM akan memberikan nasihat buat kali pertama.

“Kami tak mahu isu melanggar SOP ini berlaku dalam industri hiburan. Apa yang diinginkan, disiplin. Harus diingat tagline Kita Jaga Kita.

“Kata hikmah ini harus disematkan dalam sanubari supaya sentiasa berhati-hati, menjaga dan mengawasi apa yang ada di sekeliling.

“Pandemik COVID-19 belum hilang lagi. Penularannya tak dapat dijangka dan boleh menyerang pada bila masa dan di mana sahaja. Itu yang ditakutkan,” katanya.

Ahmad Ibrahim berkata, FDAM tidak akan teragak-agak bertindak tegas jika

selepas memberi nasihat masih ada syarikat produksi melanggar SOP.

“FDAM akan minta menghentikan penggambaran dan akan merujuk perkara ini kepada Persatuan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kami akan lebih kerap membuat lawatan mengejut ini. Perancangan sudah dibuat dalam tempoh dua minggu, dimana kami akan kerap turun padang ke lokasi penggambaran.

“FDAM akan berpecah kepada beberapa kumpulan untuk ke setiap lokasi penggambaran. Kami akan merakamkan gambar sebagai simpanan dan peringatan untuk produksi lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, FDAM meluahkan perasaan syukur apabila MKN membenarkan lebih daripada 20 orang terbabit dalam sesuatu penggambaran.

“Keputusan sebelum ini memberi tekanan psikologi kepada semua pihak terutamanya penerbit.

“Saya bukan memikirkan produksi yang baru nak mulakan penggambaran, tetapi memikirkan kerja penggambaran yang tertunda lama.

“Sebanyak 35 syarikat produksi buat program untuk televisyen (TV) yang kebanyakannya dalam bentuk bersiri. Mereka memerlukan kru yang ramai,” katanya.

Sementara itu, FDAM membuat lawatan mengejut di lokasi penggambaran drama Kebaya Kasut Kanvas terbitan Orangetree Production arahan Pyan Screw di Elmina East, Shah Alam.

Ia diikuti lokasi kedua, penggambaran drama Bidadari Kiriman Tuhan arahan Rashid Sibir dan terbitan Opera Klasik di Kampung Bukit Cerakah, Jeram, Ijok, Kuala Selangor.

Lokasi terakhir pula membabitkan penggambaran drama Keluarga Pasar arahan Azmi Hatta terbitan ZGB Media Sdn Bhd di kampung yang sama.

Selain Ahmad Ibrahim, kunjungan turut disertai Timbalan FDAM, Zaki Abdul Rahim; Ketua Sekretariat, Zaini Hassan; Ketua Biro Kebajikan,

Ahmad Hashim; Ketua Biro Antarabangsa, Sofia Rhyland dan Ketua Biro Penguat Kuasa, Datuk Zulkifli M Osman.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464