GENEVA: Pandemik COVID-19 masih belum mencapai kemuncak di benua Amerika, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran semalam, serentak dengan ramalan bahawa jangkitan global berkemungkinan mencecah 10 juta dalam tempoh seminggu.
Menurut WHO, jarak dan tempoh waktu puncak itu akan ditentukan oleh tindakan kerajaan, sekali gus membawa kemungkinan bahawa pelaksanaan perintah berkurung tidak dapat dielakkan.
Agensi kesihatan PBB itu juga memberi amaran bahawa berdasarkan kadar kes ketika ini, berlaku kekurangan alat pembersihan gas oksigen untuk pesakit kritikal.
“Pada bulan pertama penularan, kurang daripada 10,000 kes dilaporkan kepada WHO. Sepanjang bulan lalu, hampir empat juta kes dilaporkan.
“Kami menjangkakan ia akan mencapai 10 juta kes menjelang minggu depan. Ini adalah peringatan bahawa walaupun usaha untuk mencari vaksin dan terapeutik diteruskan, kita berdepan mandat penting untuk melakukan apa yang terdaya, menggunakan segala peralatan bagi mengurangkan jangkitan serta menyelamatkan nyawa,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media maya.
COVID-19 sudah meragut sekurang-kurangnya 477,500 nyawa dan menjangkiti hampir 9.3 juta penduduk lain sejak muncul di China Disember tahun lalu, lapor perangkaan sumber rasmi yang dikumpul.
Pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan memberi amaran, virus berkenaan masih mengganas di Amerika dan meningkatkan kemungkinan untuk pelaksanaan semula perintah berkurung.
“Ia amat membimbangkan, khususnya di Amerika Selatan dan Amerika Tengah.
“Kita sudah menyaksikan trend yang merisaukan, dengan banyak negara mengalami peningkatan kes antara 25 dan 50 peratus sejak minggu lalu.
“Malangnya, pandemik ini untuk kebanyakan negara di benua Amerika masih belum mencapai waktu puncak,” katanya. – AFP