SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban meminta pihak pengendali pengurusan kes remaja Ireland, Nora Anne Quoirin memperincikan senarai saksi sebelum inkues didengar di hadapan koroner mahkamah yang sama 4 Ogos depan.
Timbalan Pendakwa raya merangkap pegawai pengendali inkues, Muhamad Iskandar Ahmad, berkata pihaknya menyenaraikan 859 saksi membabitkan pelbagai latar belakang dan agensi.
“Koroner meminta kami memperincikan peranan saksi ketika SAR dan kita akan lakukannya sebelum perbicaraan bersambung 4 Ogos depan.
“Saya tidak bercadang mengurangkan senarai saksi sebaliknya akan kekalkan kesemuanya tapi dengan perincian seperti mana yang diminta koroner kerana mereka ini terbabit secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat Nora Anne,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas perbicaraan kes saman sivil keluarga remaja itu di luar bilik Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini.
Perbicaraan hari ini dijalankan di hadapan Koroner Junaidah Mohd Isa manakala peguam yang mewakili keluarga terbabit, Datuk Sankara Nair, turut hadir.
Sementara itu, Sankara Nair berkata, pihaknya berharap inkues berkenaan kelak dapat dijalankan dalam bahasa Inggeris dan diadakan secara rakaman video.
“Ini adalah permintaan keluarga Nora Anne. Kami juga diberitahu mengenai tarikh baharu inkues pada 4 Ogos dan akan dikendalikan koroner yang baharu,” katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, keluarga remaja terbabit memohon inkues pada Disember tahun lalu bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sebelum mayat Nora Anne ditemui sama ada dia diculik atau keluar sendiri dari pusat penginapannya.
Nora Anne, 15, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat Seremban pada 3 Ogos 2019, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang.
Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos 2019, iaitu 10 hari selepas kehilangannya berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari resort itu.
-BH