BoBoiBoy Movie 2 finalis New York Animation Awards (NYAFA)

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Filem animasi tempatan, BoBoiBoy Movie 2 berjaya muncul sebagai finalis bagi kategori Animasi 3D Terbaik di New York Animation Film Awards 2020 (NYAFA).

-Advertisement-

Biarpun tidak menggondol sebarang trofi pada acara berprestij anjuran Cinematography Awards Foundation yang berpangkalan di New York itu, namun Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Nizam Razak menganggap ia satu pencapaian besar buat produk keluaran syarikatnya.

“Bagi kami, bergelar finalis bagi kategori Filem Animasi 3D Terbaik sudah cukup membanggakan. Kemenangan adalah bonus, tetapi apa yang lebih penting, dapat menembusi senarai akhir anugerah berprestij dan bertaraf antarabangsa.

“Produk keluaran kami mungkin sudah dikenali di negara serantau, tetapi menjadi cita-cita melihat nama Animosta dikenali secara global. Demi merealisasikan impian, kami menyertai pelbagai festival dianjurkan di luar negara sebagai permulaan.

“Dengan menyertai pelbagai festival di peringkat antarabangsa, sedikit sebanyak peserta dan penganjur mengenali serta mengetahui kewujudan produk syarikat kami. Ia seperti pemasaran untuk Animosta,” kata Nizam kepada BH Online.

Terdahulu, BoBoiBoy 2 pernah melakar kejayaan apabila memenangi Poster Terbaik dan Trailer Terbaik di Festival Filem Laurus yang berlangsung di Rusia, baru-baru ini.

Selain itu, filem yang berjaya mengutip RM27.7 juta selepas 26 hari ditayangkan pada Ogos tahun lalu turut muncul finalis bagi kategori Filem Animasi Terbaik, Festival Filem Florence, Itali.

Ia dihadiri penggiat filem dari pelbagai pelusuk dunia bagi memilih karya filem dan animasi yang terbaik.

Kemenangan yang diraih di Festival Filem Laurus sedikit sebanyak memberi mereka ‘cop mohor’ produk keluaran Animonsta sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

-Advertisement-

Secara tidak langsung ia memberi keyakinan kepada pembeli di luar negara produk dihasilkan berkualiti.

Nizam berkata, kecanggihan teknologi pada masa kini memudahkan mereka menghantar penyertaan ke luar negara kerana ia dilakukan secara digital tanpa memerlukan ke sana, tambah lagi ketika pandemik COVID-19.

“Keinginan membawa produk Animonsta ke festival yang lebih besar seperti Anugerah Akademi atau Oscar ada, tetapi memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan terutamanya dari sudut pemasaran dan promosi kerana ia membabitkan kos tinggi.

“Kami kekurangan pada bahagian promosi dan pemasaran. Bukan mudah menembusi Oscar tanpa bajet besar kerana untuk muncul di majalah dan laman web terkemuka di luar negara pun memerlukan kos.

“Jadi, kami mulakan secara perlahan-lahan dengan menyertai festival lain yang mana penyertaan boleh dihantar secara atas talian. Kosnya tidak mahal, jadi kami mengambil peluang untuk perlahan-lahan membina nama di peringkat antarabanga,” katanya.

Katanya, pihaknya akan menerbitkan animasi dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris bagi memperkenalkan produk Animonsta di peringkat global.

“Sebelum ini, kami hanya mengalih bahasa sahaja, tetapi kali ini akan dihasilkan dua versi. Ini menunjukkan keseriusan kami dalam memasarkan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427