PARIS: Ketika krisis Covid-19 memuncak di Perancis, jururawat Justine Debrie secara sukarela bekerja di unit khas Covid-19 di hospital dia bekerja.
Kini dia menuntut Perancis menghargai pengorbanan yang dilakukannya.
“Saya tidak tahu sama ada masyarakat benar-benar memahami kami.
“Kami menjaga pesakit, tetapi satu hari nanti, kami juga akan memerlukan penjagaan. Kami juga manusia,” katanya yang berbasikal ke tempat kerja setiap hari.
Pada Selasa, Debrie bersama rakan-rakan sekerja mengenakan uniform harian mereka dan berarak sambil membawa papan tanda, menuju ke bangunan ibu pejabat Kementerian Kesihatan.
Mereka mengadakan protes bagi menuntut gaji yang lebih tinggi dan persekitaran kerja yang lebih baik daripada kerajaan Perancis.
Tuntutan yang sama sudah dibuat sebelum wabak tersebut melanda, namun situasi semasa begitu mendesak mereka mengambil langkah lebih agresif.
Kerajaan Perancis membayar bonus 1,500 euro (kira-kira RM7,200) kepada petugas kesihatan.
Tetapi bagi Debrie, 29, semuanya seperti tidak membawa makna.
Gaji pokok yang diterima Debrie ialah sekitar 1,900 euro (kira-kira RM9,200) sebulan, 200 euro (kira-kira RM950) lebih banyak daripada yang diperolehnya ketika mula menceburi bidang kejururawatan lapan tahun yang lalu.
“Wabak ini berjaya dikawal kerana dedikasi semua petugas di hospital.
“Saya marah kerana mereka (kerajaan) melayan kami seolah-olah mereka menjaga kebajikan,” katanya.
Kerajaan Perancis sebelum ini menjanjikan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan, yang dikatakan akan melibatkan pelaburan besar dan penghargaan yang lebih tinggi kepada petugas kesihatan.
– AWANI