Sokongan terhadap PM New Zealand meningkat, pembangkang tukar pemimpin

Estimate Reading Time: < 1 minute

WELLINGTON: Pembangkang konservatif New Zealand menukar pemimpinnya hari ini sebagai usaha terakhir untuk mengatasi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Jacinda Ardern kerana berjaya mengawal penularan COVID-19.

Anggota Parlimen Parti Kebangsaan memilih untuk menyingkirkan Simon Bridges selepas tinjauan awam meramalkan pemimpin itu tidak akan memperoleh sokongan dalam pilihan raya umum pada 19 September nanti.

Tempatnya akan digantikan oleh bekas eksekutif perniagaan, Todd Muller, yang menggalas tugas besar bagi memastikan parti itu kekal kompetitif sebelum rakyat negara itu membuat pemilihan dalam masa kurang empat bulan lagi.

Muller, 51, berkata fokusnya adalah memulihkan semula ekonomi di negara itu yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Rakyat New Zealand memerlukan kerajaan dengan pengalaman dan kemahiran pengurusan bagi melalui krisis terburuk (COVID-19) sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam satu undian dibuat oleh Newshub-Reid Research pada Isnin lalu mendapati sokongan luar biasa diberikan kepada Ardern iaitu sebanyak 91.6 peratus.

Ia berikutan kejayaan kepimpinannya dalam menangani krisis COVID-19.

Ardern, 39, mengarahkan perintah berkurung dilaksanakan di negara itu selama tujuh minggu dan ia berhasil apabila penularan wabak itu dilaporkan semakin terkawal.

Negara dengan populasi 5 juta penduduk itu mencatatkan hanya 21 kematian membabitkan kes COVID-19.

– AFP


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464