‘Janji boleh berlatih’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Majoriti atlet program Road to Tokyo (RTT) 2020 tidak kisah biarpun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk tidak dibenarkan keluar daripada kem latihan berpusat sepanjang tempoh latihan yang bermula 1 Jun ini.

-Advertisement-

Bagi pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, selepas hampir tiga bulan tidak berlatih, lampu hijau yang diberikan pihak kerajaan untuk atlet RTT kembali menjalani latihan lebih penting berbanding terlalu memikirkan mengenai SOP ketat yang perlu dipatuhi.

“Ini satu berita baik untuk semua atlet kerana akhirnya dapat kembali menjalani latihan. Namun, kita semua perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan bagi kerjasama yang baik dengan pihak berkaitan.

“Mahu atau tidak, kita perlu terima SOP ini berikutan situasi yang melanda sekarang. Biarlah SOP ketat sekalipun, kita patuhi saja. kerana apa yang lebih penting adalah kami dapat berlatih,” kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua atlet RTT dibenarkan untuk kembali menjalani latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun ini.

Kelonggaran khas itu membabitkan 265 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun, mereka semua perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuklah menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach) selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Sesi latihan akan dijalankan di tiga kem latihan berpusat yang ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil membabitkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perayu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu).

-Advertisement-

Sementara itu, atlet terjun negara, Leong Mun Yee, berkata dia sudah biasa dengan situasi yang mana atlet tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh kem latihan pusat.

“Bagi saya OK saja kerana kalau jalani latihan di luar negara pun, memang kami tidak boleh keluar. Jadi, saya sudah biasa tetapi mungkin yang sudah ada keluarga akan menghadapi sedikit masalah.

“Apa pun, ini berita gembira untuk kami selepas hampir tiga bulan tidak terjun dalam kolam. Memang kena mula berlatih semula memandangkan atlet dari negara lain juga sudah kembali berlatih,” katanya yang layak ke Tokyo dalam acara 10 meter platform seirama bersama Pandelela Rinong.

Bagi atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy, dia mengakui akan berdepan cabaran baharu apabila kem latihan berpusat bermula memandangkan ia adalah kali pertama dia akan berkurung di tempat latihan untuk tempoh yang lama.

“Pada awalnya saya menjangkakan SOP tidak terlalu ketat memandangkan Langkawi adalah Zon Hijau dan tidak ada kes (COVID-19) yang berlaku di sini. Jadi, kami mengharapkan ada kelonggaran yang lebih.

“Namun, kami perlu terima SOP yang ditetapkan ini. Ini akan menjadi pengalaman baharu untuk saya kerana sebelum ini kami tidak ada latihan berpusat untuk tempoh yang panjang seperti ini sehingga tidak dapat bertemu keluarga.

“Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana beri lampu kepada atlet untuk kembali berlatih,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427