LAGOS: Nigeria merampas sebuah pesawat British kerana didakwa melanggar sekatan perjalanan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kata Menteri Penerbangan, Hadi Sirika, semalam.
Syarikat penerbangan terbabit, Flair Aviation, diberi kebenaran untuk menjalankan penerbangan kemanusiaan tetapi didapati melakukan penerbangan komersial, kata Sirika melalui akaun Twitter beliau.
“Ini tidak berhati perut! Pesawat itu dirampas dan kru disiasat. Penalti maksimum akan dikenakan. Waktu yang salah untuk menguji tekad kami,” tulis beliau.
Setakat semalam, tiada respons segera berhubung perkara itu daripada syarikat terbabit mahupun Kedutaan Britain.
Nigeria menutup lapangan terbang dan ruang udaranya sejak Mac lalu bagi mengekang COVID-19 yang telah menjangkiti 5,621 orang dan mengorbankan 176 mangsa di negara ini. – AFP