McD utamakan keselamatan, kesihatan pelanggan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s Malaysia, mengambil langkah meningkatkan tahap keselamatan dan kebersihan makanannya dengan mengamalkan sistem pembayaran tanpa tunai dan tidak bersentuhan bagi perkhidmatan penghantarannya.

-Advertisement-

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, berkata langkah yang diambil ketika negara berdepan krisis kesihatan ini ekoran penularan pandemik COVID-19 itu, bertujuan memastikan kesihatan pelanggan dijaga dan terhindar daripada sebarang wabak.

Beliau berkata, bagi penghantar makanan restoran itu, mereka diwajib mengutamakan langkah berjaga-jaga dengan menggunakan topeng muka dan sarung tangan sebelum masuk ke premis McDonald’s, perlu membersihkan tangan mereka dan pemeriksaan suhu badan di luar restoran setiap hari.

“Selain itu, kru McDonald’s akan membersihkan setiap beg penghantaran bagi setiap penghantar makanan sebelum makanan dimasukkan ke dalam beg berkenaan, bahkan tempat untuk mengambil makanan juga diasingkan untuk setiap penghantar termasuk dari Grab Food dan Food Panda.

“Tidak itu saja, McDonald’s juga melakukan langkah keselamatan tambahan dan penjarakan sosial diamalkan seperti bungkusan beg perlu kedap termasuklah maklumat suhu setiap penghantar makanan akan ditampal pada beg masing-masing.

“Penghantar makanan akan menghubungi pelanggan sebaik saja sampai di lokasi dan bersetuju meletakkan bungkusan di tempat yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, di restoran pula, pihak syarikat memastikan standard tinggi terhadap keselamatan dan kebersihan makanan diutamakan.

“Setiap kali selepas habis waktu beroperasi, setiap restoran menetapkan seorang pengurus dan empat kakitangan memastikan kebersihan premis secara terperinci termasuklah kawasan dapur, laluan pandu lalu, kawasan makan dan stor.

“Kakitangan juga wajib memakai topeng muka dan sarung tangan sepanjang masa termasuklah mereka yang memeriksa suhu setiap pelanggan dan penghantar makanan,” katanya.

Sementara itu, sempena Ramadan ini, McDonald’s memperkenalkan menu tambahan baharu iaitu ‘Crispy Fish Foldover’ dan ayam goreng McD bersama sos pedas manis, pai coklat pisang dan pelbagai jenis minuman berasaskan kurma.

Selain itu, menu biasa turut ditawarkan antaranya ‘Grilled Chicken Foldover’ dan nasi lemak McD. -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427