Asrama SK Nanga Serau musnah dalam kebakaran

Estimate Reading Time: < 1 minute

JULAU- Seramai 41 pelajar sekolah rendah terselamat apabila bangunan asrama Sekolah Kebangsaan Nanga Serau, kira-kira 28 kilometer dari sini, musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran, hari ini.

-Advertisement-

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Julau, ASP Colony Kiai, berkata kesemua 20 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan serta tiga pembantu penyelia tidak mengalami kecederaan dalam kejadian yang memusnahkan bangunan kayu dua tingkat itu.

Dihubungi melalui aplikasi Whatsapp malam ini, beliau berkata panggilan kejadian kebakaran itu diterima Balai Polis Julau pada jam 5.15 petang daripada Pusat Kawalan Kontingen (CCC) PDRM Sarawak dan turut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku di tempat kejadian,” katanya.

-Advertisement-

Menurutnya, tiga anggota polis mengambil  masa sejam menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan diterima.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dikejarkan ke tempat kejadian dengan satu jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata jentera bomba tidak dapat melalui jalan yang sempit menuju ke sekolah tersebut sehingga memaksa mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan empat anggota untuk membawa peralatan memadam kebakaran ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, asrama itu sudah musnah sama sekali setibanya di lokasi, katanya. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, katanya.– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427