PETALING JAYA: Satu pasukan petugas daripada kumpulan perusahaan dan industri kecil dan sederhana hari ini menuduh bank menyusahkan permohonan pinjaman untuk PKS, memberi amaran ini boleh menamatkan beberapa pihak dalam sektor itu.
Menurut tinjauan pasukan itu, PKS yang permohonan pinjaman mereka diluluskan kebanyakannya pelanggan sedia ada.
Jurucakap Shahul Dawood berkata pelanggan baru sama ada diberi maksimum RM250,000 atau ditolak.
“Kenapa diskriminasi?” katanya dalam kenyataan, memetik tinjauan yang menunjukkan kira-kira 76% daripada 4,073 PKS dan IKS yang permohonan mereka diluluskan adalah pelanggan sedia ada.
Beberapa pihak juga dihubungi bank menawarkan pinjaman baru bawah pakej rangsangan baru kerajaan.
Tinjauan oleh Business Sustainability Taskforce Covid-19 juga menyatakan sikap “perniagaan seperti biasa” pihak bank apabila menilai permohonan.
Berdasarkan tinjauan itu, Shahul berkata bank enggan membantu syarikat yang kitaran kewangannya belum matang, atau agak baru dalam pasaran.
Beliau berkata bank masih menggunakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Credit Tip-Off Service (CTOS), yang beliau dakwa tidak adil semasa krisis.
CCRIS merupakan sistem berpusat bawah Bank Negara yang mengumpul semak data mengenai pinjaman belum dijelaskan dan sejarah pembayaran sepanjang 12 bulan.
CTOS pula sebuah agensi pelaporan kredit.
Shahul juga mendakwa bank mengambil masa untuk meluluskan pinjaman, dengan kadar kelulusan awal hanya pada 5%. Beliau berkata 65% permohonan masih menunggu dan kira-kira 30% ditolak.
Beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara memberi arahan jelas kepada bank mengenai kelulusan permohonan pinjaman supaya saling selari.
“Ini penting bagi menanam keyakinan dalam kalangan PKS yang kehabisan wang dan sumber dengan cepat.”
– FMT