PETALING JAYA: Kebanyakan negeri dilihat masih belum membuat keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di sebalik ramalan gelombang ke-3 pandemik Covid-19 yang akan berlaku pada pertengahan April ini.
Sehingga kini, hanya Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan dilaporkan membatalkan penganjuran bazar Ramadan sebagai usaha menyekat jangkitan virus tersebut.
FMT dimaklumkan, beberapa negeri lain dijangka mengumumkan keputusan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
Sumber terdekat exco kerajaan negeri Johor berkata keputusan mengenai status bazar Ramadan akan diumumkan selepas meneliti perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di negeri itu.
“Kita akan umumkan sedikit masa lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan dan Perumahan Tan Kok Yew berkata penganjuran bazar Ramadan menjadi agenda utama dalam mesyuarat exco negeri hari ini.
“Kami faham ramai peniaga mahu bazar itu tetap dibuka.
“Sekiranya kerajaan negeri bersetuju, bazar akan dibuka dengan kapasiti yang lebih kecil untuk mengawal orang ramai dan akan dibuka di kawasan perumahan bukannya di stadium seperti tahun sebelumnya,” kata Tan.
Ahad lalu, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob dilaporkan berkata ada kemungkinan negeri itu tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri masih belum memuktamadkan perkara itu.
“Tapi sekarang kita anggap bazar Ramadan tidak akan diadakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Kota Bharu.
Sementara itu di Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan dan Pekan dilaporkan berkata mereka belum membuat keputusan sama ada bazar akan diadakan atau dibatal pada tahun ini.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini membekukan permohonan gerai di bazar Ramadan berikutan tempoh lanjutan kawalan pergerakan.
MBPP sebelum ini menerima permohonan lesen sementara untuk peniaga bazar Ramadan sehingga 10 April.
Walaupun tiada keputusan dibuat di Sabah, Ketua Menteri Shafie Apdal pada bulan lalu berkata, Sabah tidak akan mengadakan sambutan Aidilfitri di peringkat negeri ketika tempoh kawalan pergerakan berkuatkuasa.
Bercakap kepada media di Kuching pada Sabtu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada bazar Ramadan negeri akan dibatalkan.
Selain itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini mengatakan beliau percaya menteri besar dan majlis perbandaran masing-masing akan memutuskan sama ada akan menerus atau membatalkan penganjuran bazar Ramadan.
Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula masih menunggu nasihat dari KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Annuar Musa dalam hantaran di Twitternya malam tadi berkata, beliau akan menerima taklimat daripada kedua-dua pihak itu Jumaat ini. – FMT