BEIRUT: Sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh dalam serangan oleh tentera Syria terhadap sasaran termasuk sekolah, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
Serangan itu adalah kemaraan berterusan pihak tentera untuk menawan lokasi utama terakhir yang dikuasai pembangkang.
Pengeboman oleh pihak tentera membunuh sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak, kata badan pemerhati itu tatkala pasukan tentera yang disokong Russia menyerang dengan sengit untuk merampas bandar Idlib, wilayah utama terakhir di Syria yang masih dikuasai oleh pemberontak.
Ketua badan pemerhati, Rami Abdel Rahman, berkata serangan di Idlib yang memiliki penduduk padat itu membunuh seorang pelajar sekolah, tiga guru serta dua yang lain.
Katanya, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dalam kalangan 10 orang awam terbunuh di Maarat Misrin, sebuah bandar di utara Idlib, iaitu lokasi di jalan menghala ke sempadan Turki.
Menurutnya, empat yang lain termasuk seorang ibu dan dua anaknya, maut dalam kebakaran akibat serangan tentera di Binnish, timur laut Idlib.
Badan Pemerhati selanjutnya melaporkan pasukan tentera telah menawan 19 bandar dan kampung dalam tempoh 48 jam.
Antaranya ialah Kafranbel, bandar simbolik yang menjadi antara yang pertama melakukan pemberontakan terhadap Damsyik.
Wilayah Idlib yang menempatkan kira-kira tiga juta orang kini dalam keadaan yang semakin terdesak.
Pertubuhan Penyelamat Kanak-kanak semalam menyeru supaya sekolah diselamatkan.
“Sekolah seharusnya menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk kanak-kanak, walaupun di zon konflik.
“Serangan hari ini adalah satu lagi tanda bahawa pertempuran di barat laut Syria telah mencapai tahap bencana keganasan terhadap kanak-kanak dan orang awam … Tidak ada tempat selamat, bahkan sekolah,” kata pengarah kebajikan Syria, Sonia Khush. – AFP