2 mengaku tak bersalah dalam kes bayi tercampak keluar kereta

Estimate Reading Time: < 1 minute

REMBAU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki 2 tahun tercampak keluar daripada kenderaan di tengah lebuh raya pada awal bulan ini.

-Advertisement-

Tertuduh, Nabil Hariz Jefridin, 23, dan B Thayalan, 20, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan berasingan di depan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memandu kereta masing-masing secara berbahaya di laluan Ayer Keroh ke Senawang, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 3.21 petang 10 Feb lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh, bagaimanapun peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil yang mewakili Nabil Hariz memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya ialah pelajar universiti dan tidak mempunyai pendapatan.

-Advertisement-

Thayalan yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.

Pada 10 Feb lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan nyaris maut kerana tercampak keluar daripada kenderaan dinaiki bersama keluarganya yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan di Lebuhraya PLUS berhampiran Senawang. – FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427