BEAUFORT: Tenang, cantik dan santai – mungkin itu perkataan terbaik untuk menggambarkan Kampung Binsulok, perkampungan komuniti nelayan tradisional yang terletak di Membakut, kawasan pilihan raya di bawah Parlimen Kimanis.
Terletak di tebing sungai paya bakau, kampung itu merupakan tempat tinggal sebahagian besar nelayan tradisional manakala sesetengah mereka, terutamanya generasi muda, menjalankan perniagaan kecil atau bekerja dalam sektor swasta dan kerajaan.
Namun bagi Awang Bulat Asat, kehidupan di laut telah menjadi darah dagingnya.
Walaupun kehidupan dan pekerjaan moden menawarkan gaya hidup yang lebih selesa dan mudah, bapa 10 anak berusia 62 tahun itu tetap setia dengan pekerjaan yang membantu menyara keluarganya selama hampir setengah abad dan dia bangga meneruskan tradisi keluarga.
“Ibu bapa saya menjadi nelayan. Selain sedikit kemahiran pertukangan, ini semua yang saya tahu untuk menjalani kehidupan.
“Lautan dan sungai menjadi ‘pejabat’ sejak saya berumur 16 tahun. Dan sekarang, semua anak saya berusia 22 hingga 37 tahun adalah nelayan,” kata Awang kepada FMT.
Namun walaupun sebahagian besar penduduk kampung umumnya berpuas hati menjadi nelayan, Awang berkata mereka mendapati ia sukar untuk meneruskan kehidupan.
Tangkapan yang semakin berkurangan, cuaca buruk dan pengurangan bantuan sara hidup (BSH) kepada nelayan semuanya memainkan peranan, kata Awang, yang menjadikan “bubuk” atau udang kecil dan “ikan bilis” sebagai tangkapan utamanya – produk laut Kimanis yang terkenal.
Rakannya, Zulkifli Gapar pula berkata walaupun kerajaan PH mengurangkan BSH dari RM300 kepada RM200, ia mungkin tidak kelihatan banyak oleh sesetengah orang, tetapi ia menjadi tamparan kepada penduduk kampung.
Menjadi nelayan sejak berusia 18 tahun, Zulkifli berkata cuaca menghalangnya untuk keluar ke laut dengan lebih kerap.
“Kami adalah orang-orang yang rasa kesannya ketika kami menghadapi ketidakpastian untuk keluar ke laut, belum lagi risiko keselamatan yang kita hadapi di sana.
“Ketika hari cuaca baik kita boleh dapat antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan daripada hasil jualan tangkapan kami.
“Tetapi, tidak banyak hari yang baik lagi. Lebihan RM100 (dalam BSH) beri banyak perbezaan kepada keluarga saya,” kata Zulkifli.
Sebab itulah, katanya, penduduk kampung menyuarakan harapan mereka kepada ahli Parlimen Kimanis yang baru untuk mengetengahkan nasib mereka kepada Putrajaya.
Beliau menambah ketika Barisan Nasional berkuasa, terdapat bantuan lain selain elaun nelayan asal sebanyak RM300.
“Sebelum ini, kami menerima jaring, enjin sangkut dan juga bot. Saya tidak tahu kenapa keadaan berbeza sekarang tetapi kami harap perkara ini akan berubah menjadi lebih baik tidak lama lagi,” katanya.
Zulkifli tidak pasti siapa yang akan dipilihnya pada PRK Kimanis, namun Awang percaya kerajaan yang dipimpin Warisan memerlukan lebih banyak masa untuk membetulkan keadaan.
“Saya percaya mereka perlukan masa untuk menyelesaikan kesusahan rakyat – mereka belum berkuasa sepenggal pun, jadi kita perlu bersabar.
“Ia seperti pindah ke rumah baru … anda tidak boleh harapkan perabot penuh sekaligus.
“Saya fikir lebih baik (Warisan) Karim (Bujang) menang kerana Warisan adalah kerajaan yang memerintah jadi kami dapat benda yang sama atau lebih baik daripada apa yang diterima ketika Umno memerintah,” katanya.
Awang berkata kampung itu mempunyai lebih 1,000 pengundi, majoriti mereka adalah Melayu Brunei.
Karim dari Warisan dan Mohamad Alamin dari Barisan Nasional adalah bertanding 1 lawan 1 bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini. -FMT