KUCHING: Seorang pemimpin PBB membidas aktivis politik Sabah, Zainnal Ajamain kerana menyeru ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong pindaan perlembagaan bagi memulihkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf Semenanjung.
Naib Presiden Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu FMT bahawa ahli-ahli Parlimen Sarawak akan berpandukan kepada penasihat undang-undangnya dan bukannya “perintah” Zainnal sekiranya langkah meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan berlaku sekali lagi.
“Mereka boleh berfikir dan boleh membaca, mentafsir, dan memahami Perlembagaan Persekutuan dan rang undang-undang yang dibentangkan kepada mereka,” katanya.
Zainnal, yang menasihati kerajaan Sabah mengenai perkara berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pada Ahad berkata dia tidak faham kenapa ahli-ahli Parlimen Sarawak berkecuali semasa pengundian RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tahun lepas, menyebabkan ia tidak dapat diluluskan.
Dia berkata ini menyebabkan kedua-dua negeri itu sukar mendapatkan kembali hak mereka.
“Sekarang ini, kita semua berada dalam satu wilayah dan oleh itu mesti berkongsi segalanya dengan Tanah Melayu,” katanya.
“Sekiranya Sarawak mahu menuntut haknya ke atas minyak dan gas, wilayahnya mesti ditetapkan. Ia tidak boleh tuntut hak-hak itu apabila ia sebahagian daripada wilayah Tanah Melayu.”
Menjelaskan tindakan berkecuali semasa pengundian itu, pemimpin GPs berkata MA63 tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pentadbiran Sarawak mencadangkan RUU itu menyebut negeri-negeri persekutuan terdiri daripada Tanah Melayu, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu; dan Sabah dan Sarawak, “menurut MA63”.
Bagaimanapun, RUU yang dibentangkan di Parlimen itu tidak menyatakan “menurut MA63”.
Pemimpin GPs juga mahu Perkara 60 dipinda bersama Perkara 1(2), mendakwa perkataan “persekutuan” dalam perkara itu bermakna persekutuan yang ditubuhkan menurut Perjanjian Persekutuan Negeri-negeri Melayu.
Karim berkata Zainnal, selaku seorang pakar undang-undang, harus dapat lihat bahawa mustahil ada 2 tafsiran “persekutuan” yang berbeza dalam perlembagaan.
“Apa jadi pada kamu, Zainnal? Kau tak bercakap seperti ini sebelum dilantik penasihat MA63 kepada kerajaan Sabah.”
Ketua Pemuda SUPP, Michael Tiang juga menuduh Zainal mengubah nada.
Beliau berkata Zainnal sengaja abaikan kepentingan Perkara 160.
“Walaupun Perkara 1(2) dipinda,” katanya, “persekutuan masih tidak menurut MA63. Kenapa sibuk tentang mengubah potongan rambut sedangkan anda masih terperangkap dalam tubuh yang salah? -FMT