SEOUL: Penyiasat Tentera Korea Selatan mendakwa dua juruterbang Tentera Udara atas kesalahan kecuaian jenayah selepas insiden pengeboman di sebuah kampung ketika latihan ketenteraan mencederakan sekurang-kurangnya 29 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda besar.
Komando Penyiasatan Jenayah Kementerian dalam satu kenyataan berkata, penyiasat Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa kesilapan juruterbang ketika memasukkan koordinat ke dalam sistem pesawat adalah faktor langsung yang menyebabkan kejadian itu.
Juruterbang itu didakwa atas kesalahan kecuaian jenayah yang menyebabkan kecederaan, namun siasatan terhadap insiden tersebut masih berjalan.
Lapan bom udara-ke-darat tanpa panduan dilepaskan dari dua jet pejuang dan jatuh ke sebuah kampung di Pocheon, berhampiran sempadan dengan Korea Utara.
Beberapa kawasan di Pocheon dan wilayah bersebelahan mempunyai kawasan latihan yang digunakan oleh tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Penduduk selama bertahun-tahun mengadu mengenai risiko keselamatan dan potensi gangguan akibat kekerapan unit tentera yang dikerahkan di kawasan itu.
Kedua-dua juruterbang digantung daripada tugas penerbangan dan satu semakan terhadap sijil misi penerbangan mereka sudah dijadualkan.
Ketua Staf Tentera Udara meminta maaf atas kejadian itu dan berjanji untuk mengkaji semula prosedur misi bagi mengelakkan insiden sama pada masa hadapan.
Korea Utara, yang secara rutin mengecam latihan ketenteraan oleh tentera Korea Selatan dan AS.
Katanya insiden itu menunjukkan risiko latihan ketenteraan yang boleh mencetuskan konflik bersenjata, dengan menyebut kemungkinan bom berkenaan jatuh di utara sempadan.
-BeritaHarian