BANGI: Risiko kesan kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap prestasi eksport negara, khususnya semikonduktor dilihat minimum memandangkan kenaikan tarif yang dikenakan tidak secara langsung membabitkan Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zalina Zainol, berkata Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka, sudah pasti terdedah kepada ketidaktentuan global yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan perubahan dasar yang dibuat oleh AS.
Menurutnya, AS telah menjadi rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar sejak 2015, dan pada tahun lalu eksport Malaysia ke negara itu menyumbang 13.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.
“Justeru, ia menunjukkan betapa pentingnya hubungan dua hala di antara Malaysia dan AS serta pertumbuhan ekonomi negara,” katanya pada Bicara Persada Trump dan Dunia: Implikasi Terhadap Malaysia di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia(MINDA-UKM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM.
Mengulas lanjut, Zalina berkata, antara eksport utama Malaysia ke AS adalah barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera kelengkapan dan peralatan serta keluaran getah.
“Kita lihat bahawa rekod nilai keseluruhan eksport barangan pada 2024, menunjukkan 40 peratus keseluruhan eksport barangan daripada Malaysia adalah produk E&E.
“Daripada jumlah itu, 64 peratus adalah semikonduktor. AS berada di kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport dari Malaysia selain China dan Singapura,” katanya.
Zalina bagaimanapun mengingatkan bahawa jika tarif tambahan dikenakan terhadap semua import global, ia boleh menyebabkan peningkatan harga dan kos keluaran eksport Malaysia ke AS.
Katanya, ini akan menyebabkan gangguan kepada rantai bekalan, yang akhirnya memberi kesan kepada daya saing produk atau industri tertentu.
Menurutnya lagi, pada Sidang Parlimen baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan bahawa kerajaan sedang berusaha mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan serta mengukuhkan hubungan perdagangan dan perhubungan dengan AS.
“Usaha ini penting bagi memastikan agar Malaysia tidak dikenakan tarif seperti China, Kanada dan Mexico.
“Ini adalah kerana, kita mendapati bahawa tarif yang dikenakan kepada negara-negara berkenaan sebenarnya berpunca pada isu-isu yang melampaui perdagangan dan pelaburan,” katanya.
-BeritaHarian