PETALING JAYA: Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa mengakui Konsert Rossa Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun depan adalah konsert terbesarnya sepanjang dua dekad bergelar penyanyi.
Berikutan itu, Rossa atau pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani berkata, dia akan tampil dengan banyak kejutan dan persembahan istimewa.
“Sudah lama saya tidak buat konsert besar di Malaysia. Kali terakhir, ketika mempromosikan album Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
“Jadi, kali ini saya membawakan konsep berbeza dan lokasinya juga besar di Axiata Arena. Saya ingin merasakan bagaimana membuat persembahan di lokasi hebat dan besar.
“Dan sebenarnya ada penyanyi Indonesia yang bakal diraikan dan penampilannya pasti akan buat peminat menjerit. Saya seperti ada dua rumah, Jakarta dan Kuala Lumpur, jadi insya-Allah saya akan berlaku adil buat dua negara tercinta ini,” katanya ketika sidang media konsert secara virtual di Lado, Pavilion Damansara Heights, hari ini.
Sebelum ini, Rossa melakar sejarah tersendiri apabila tiket pra jualan Konsert Rossa Here I Am yang dibuka pada 11 November tahun lalu habis dijual dalam masa tiga jam.
Rossa berkata, dia terharu dengan sambutan luar biasa dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik sepanjang tiga jam konsert.
“Sebetulnya, ini boleh menjadi konsert terbaik boleh dinikmati di Malaysia. Saya tak boleh buat konsert seperti ini setiap tahun, jadi pastinya saya melakukan persiapan terbaik.
“Saya akan menyanyikan lebih 27 lagu dan insya-Allah, banyak lagu popular di Malaysia akan dinyanyikan, malah ada juga segmen kejutan. Ada enam segmen, antaranya ‘dance’, galau dan ‘soundtrack’.
“Banyak yang belum pernah dilakukan dalam konsert sebelum ini, akan dipersembahkan pada malam itu.
“Kami juga gunakan banyak teknologi baharu yang boleh dimanfaatkan supaya ia menjadi lebih meriah,” katanya.
Konsert Rossa Here I Am adalah susulan tayangan filem dokumentari, All Access to Rossa: 25 Shining Years. Ia akan diadakan di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Ia dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Inspire Production dan SAH Entertainment.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, Axiata Arena dianggarkan memuatkan lebih kurang 11,700 penonton.
“Sejarah perjalanan saya bersama Rossa sudah lama. Kami bermula dengan pelbagai konsert berskala besar di mana kami pernah mengadakan konsert di UiTM dan Istana Budaya.
“Rossa adalah penyanyi wanita Indonesia pertama yang tampil dalam konsert di Istana Budaya pada 2016.
“Seterusnya, kami ada buat konsert di hotel, KLCC dan kali ini, kemuncaknya di Axiata Arena. Kami menjanjikan persembahan lebih luar biasa, sebab itulah kami pilih Axiata Arena,” katanya.
-BeritaHarian