SPRM perhebat penyiasatan, pergiat kerjasama tingkat kedudukan Malaysia dalam CPI

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperhebat penyiasatan dan mempergiat kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

SPRM menyokong penuh kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menyatakan kerajaan terus berusaha secara bersepadu, bagi meningkatkan persepsi global terhadap kecekapan dan ketelusan sistem tadbir urus negara.

SPRM menegaskan keazaman mereka untuk bersama meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI.

“Sebagai agensi utama dalam membanteras rasuah, SPRM akan terus memperhebat penyiasatan serta inisiatif pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan,” demikian menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Transparency International Malaysia (TI-M) mengumumkan Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dalam CPI 2024, untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

Menurut kenyataan SPRM, pihaknya mengambil maklum pengumuman TI-M berhubung keputusan CPI 2024, yang menyaksikan negara mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 secara global.

SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) yang berperanan sebagai urus setia kepada Pasukan Petugas Khas CPI dan dipimpin oleh KSN, akan terus meneliti dapatan survei itu bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

“SPRM juga akan mempergiat kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk kementerian, sektor swasta, masyarakat sivil serta TI-M.

“Usaha mempertingkat CPI bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan tetapi juga memerlukan usaha sepadu daripada semua pihak,” menurut kenyataan itu.

SPRM menyeru semua pihak untuk meneruskan kerjasama dan memainkan peranan untuk menambah baik strategi pencegahan dan memperkukuh tadbir urus demi mencapai sasaran kerajaan meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2033.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464