Pertahanan TFC sedia ‘rantai’ Josue

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Pertahanan Terengganu FC (TFC), sedia ‘merantai’ penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue daripada bermaharajalela dalam kawasan gol.

Pemain serba boleh, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang lebih mesra dipanggil ‘Ubai’ berkata, penyerang bahaya itu menjadi ancaman utama kepada pasukannya jika tidak dikawal ketat.

TFC kendalian Badrul Afzan Razali yang berada di kedudukan keempat liga dengan 27 mata dijadual berdepan skuad The City Boys dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

“Impian kami sudah pasti ingin meneruskan momentum kemenangan dalam baki saingan liga bagi mengelak keciciran mata untuk mengintai peluang berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga.

“Jadi kami perlu menggunakan peluang sebaik mungkin kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan mengurangkan kesilapan terutama di bahagian pertahanan.

“Pada masa sama kami tekad untuk mengawal ketat penyerang lawan, Josue daripada bergerak bebas kerana pemain itu begitu bahaya jika mendapat peluang,” kata pemain muda itu.

Aksi pusingan pertama liga pada Ogos lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menyaksikan skuad kendalian Badrul meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan Manuel Ott dan Safawi Rasid.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464