MILAN: Joao Felix menyumbat gol pada penampilan sulungnya manakala Tammy Abraham meledak dua gol menentang kelab induknya untuk membantu AC Milan menang 3-1 ke atas AS Roma pada suku akhir Coppa Italia di San Siro, awal pagi tadi.
Milan, pemenang Coppa Italia lima kali, akan berdepan sama ada Inter Milan atau Lazio pada separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik.
Abraham, yang menyertai Milan dari Roma pada Ogos lalu secara pinjaman semusim, meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-16 dan sekali lagi menghukum bekas rakan sepasukannya tiga minit sebelum rehat.
Pemain gantian Roma, Artem Dovbyk membalas satu gol sembilan minit selepas rehat sebelum Felix tampil dari bangku simapanan dan menjaringkan gol pada minit ke-71, dua hari selepas ketibaannya dari Chelsea secara pinjaman.
“Setiap orang tahu apa perasaan saya mengenai Roma, ia kelab yang terlalu bermakna buat saya. Ia tidak bagus,” kata Abraham kepada badan penyiar Mediaset selepas dia dicemuh oleh penyokong pelawat.
“Saya fikir mereka ingat saya meraikannya tetapi tidak, saya hanya bersyukur kepada Tuhan. Inilah bola sepak, ia berlaku.”
-REUTERS
-BeritaHarian