Mixue Malaysia mohon maaf, perjelas isu kebimbangan halal

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mixue Malaysia Sdn Bhd (Mixue Malaysia) hari ini memohon maaf atas kebimbangan yang timbul berkenaan status halal di salah satu cawangannya.

Melalui kenyataan, Mixue Malaysia berkata ia berkait penggunaan beg sampah yang tertera label dengan tulisan meragukan.

Mengulas lanjut, katanya plastik sampah terbabit telah dibeli dalam talian untuk kegunaan cawangan, namun didapati dilabelkan dengan tulisan yang tidak sesuai dan boleh menimbulkan keraguan.

“Walaupun plastik tersebut hanyalah pembungkusan sampah dan tidak berkait dengan penyediaan makanan, kami mengambil isu ini dengan sangat serius.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami telah mengambil tindakan memohon pelaksanaan proses sertu (pembersihan mengikut hukum syarak) di cawangan terbabit bagi memastikan kebersihan dan pematuhan penuh terhadap standard halal.

“(Kami juga) menghentikan penggunaan plastik tersebut serta mengkaji semula prosedur pembelian untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu Mixue Malaysia menegaskan semua bahan mentah digunakan dalam produknya adalah dari sumber halal dan memiliki sijil halal yang sah.

“Kami kekal komited untuk memastikan kebersihan, kualiti dan pematuhan halal di semua cawangan kami.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta kepercayaan berterusan anda,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464