‘Orang kuat FAM’ sendiri tak percaya Jawatankuasa Pemilihan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan pihaknya tidak menghantar borang pencalonan bagi kongres pemilihan barisan kepemimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden FAM menjelaskan tindakan itu diambil kerana pihaknya hilang kepercayaan terhadap Jawatankuasa Pemilihan FAM dengan tempoh pencalonan sudah berakhir, semalam.

Tindakan itu boleh dikatakan mengejutkan memandangkan Mohd Firdaus antara calon dicanang untuk bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden badan induk itu pada kongres pemilihan yang akan berlangsung 15 Februari depan.

Malah, Mohd Firdaus mendakwa jawatankuasa pemilihan kurang telus sekali gus mengambil tindakan drastik untuk tidak bertanding merebut jawatan nombor dua itu yang ketika ini disandang Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram.

“Saya sudah hilang kepercayaan terhadap Jawatankuasa Pemilihan FAM dan sebab itu mengambil tindakan untuk tidak menghantar borang pencalonan sehingga tarikh tutup semalam.

“Mungkin jika hantar adalah perkara sia-sia kerana Jawatankuasa Pemilihan kali ini agak meragukan. Biarlah calon yang ada menang tanpa bertanding,” katanya.

FAM dalam kenyataan di laman Facebook, memaklumkan Jawatankuasa Pemilihan mengadakan mesyuarat di wisma badan induk itu, kelmarin bagi membuka dan menyemak borang pencalonan sejurus tempoh untuk ahli gabungan mengemukakan borang pencalonan berakhir.

Jawatankuasa Pemilihan FAM adalah badan bebas yang dipengerusikan oleh Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dan dianggotai tiga ahli jawatankuasa iaitu Datuk Ab Jalil Abdullah, Salleh Ramli dan Fong Wan Hor.

Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang menjadi calon ‘hangat’ sebagai presiden baharu FAM bagi pemilihan kali ini dijangka akan menang tanpa bertanding.

Mohd Yusoff dan Sivasundaram juga dikhabarkan akan menang tanpa bertanding dan bakal kekal berada di kerusi Timbalan Presiden FAM.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464