KUALA LUMPUR: PETRONAS Lubricants International melancarkan minyak enjin PETRONAS Urania khusus untuk kenderaan komersial ringan (LCV), memenuhi keperluan pasaran tempatan dengan menawarkan ketahanan unggul, pengekalan kelikatan yang baik, dan prestasi enjin yang lebih cekap.
Pengarah Urusan Serantau Asia PETRONAS Lubricants International, Noorhana Abdul Habib, berkata minyak enjin baharu itu dicipta untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju pasaran pelincir LCV, dengan menggunakan ‘PETRONAS Fluid Technology Solutions’.
“Minyak enjin ini telah diuji dalam pelbagai keadaan ekstrem, termasuk cabaran ‘Rainforest Challenge’ (RFC) baru-baru ini, yang merupakan antara acara sukan permotoran luar jalan paling mencabar di dunia.
“Ketahanan ini sangat relevan untuk pasaran LCV domestik, di mana pengangkutan barangan, operasi perniagaan, dan penyambungan komuniti memainkan peranan penting,” katanya dalam satu kenyataan.
Minyak Enjin PETRONAS Urania LCV baharu, yang dibangunkan dengan teknologi ‘StrongTech’, direka untuk membolehkan kenderaan kekal lebih lama di jalan raya tanpa memerlukan penyelenggaraan kerap.
Ciri ini memberi manfaat kepada pengguna melalui penjimatan kos penyelenggaraan, selang penukaran minyak yang lebih panjang, dan prestasi yang cemerlang walaupun dalam keadaan operasi yang mencabar, seperti perjalanan harian, pengembaraan luar jalan, dan pengurusan armada.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia, Zameer Zahur Hussain, berkata minyak enjin PETRONAS Urania LCV menawarkan perlindungan enjin maksimum dengan mengurangkan geseran, mengawal pembentukan deposit berbahaya, dan meningkatkan kecekapan bahan api.
“Minyak ini menyediakan lapisan pelincir yang kekal optimum pada suhu tinggi, melindungi komponen enjin daripada kehausan walau dalam tugasan berat sekalipun,” katanya.
Pelancaran produk ini mencerminkan komitmen PETRONAS terhadap kecemerlangan dalam menyediakan penyelesaian inovatif yang menyokong industri kenderaan komersial ringan di Malaysia. Produk ini dijangka menjadi pilihan utama pengguna yang mengutamakan kos efektif dan ketahanan dalam operasi harian.
-BeritaHarian