PUTRAJAYA: Kempen Pembayaran Tanpa Tunai dan Cek Peringkat Nasional Siri Ke-4 atau Cashless Boleh 4.0 merekodkan 138.82 juta transaksi meliputi 86 peratus bagi kesemua 20 agensi kerajaan yang terbabit sepanjang setahun dilaksanakan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata jumlah penyertaan agensi kerajaan bagi kempen Cashless Boleh 5.0, kini bertambah kepada lebih 80 agensi pada tahun ini, satu langkah penting bagi memperkukuhkan ekosistem pembayaran tanpa tunai negara.
Beliau berkata, kempen itu adalah kesinambungan program kerjasama antara Kementerian Kewangan dengan syarikat Payment Networks Sdn Bhd atau PayNet yang diadakan sejak 2019.
“Kempen Cashless Boleh yang pertama dan kedua membabitkan penyertaan orang awam bagi menggalakkan penggunaan e-pembayaran bagi perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan. Manakala, penyertaan bagi kempen Cashless Boleh 3.0 dan 4.0 membabitkan 20 agensi kerajaan Persekutuan dan lima kerajaan negeri yang berdaftar.
“Kempen Cashless Boleh adalah inisiatif yang mempunyai impak besar ke arah transformasi digitalisasi kewangan Malaysia, selain bertujuan untuk menaik taraf infrastruktur digital negara serta mencapai standard yang cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Melalui peningkatan keselamatan dan kecekapan dalam transaksi kewangan, hasil daripada keberkesanan kempen ini, kita dapat memodenkan sektor awam bagi menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih mudah, telus dan sistematik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah Kempen Pembayaran Tanpa Tunai – Cashless Boleh 4.0 dan peluncuran Cashless Boleh 5.0, di sini, hari ini.
Yang turut hadirm Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Ramzi Mansor dan Pengerusi PayNet, Datuk Mohd Izzaddin Idris.
Cashless Boleh 4.0 yang berlangsung dari 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024 menyaksikan penyertaan daripada 20 agensi kerajaan Persekutuan dan badan berkanun, yang merekodkan sejumlah 138,817,425 transaksi pembayaran digital, mencapai kadar penembusan sebanyak 86 peratus.
Selain itu, lapan kerajaan negeri turut menyertai kempen itu, dan berjaya merekodkan 46,372,978 e-pembayaran, mewakili 92 peratus daripada 50,251,855 jumlah transaksi.
Kempen Cashless Boleh adalah kerjasama tahunan antara PayNet dan Kementerian Kewangan yang bertujuan mempercepat penerimaan pembayaran digital dalam sektor awam Malaysia dengan menggalakkan rakyat untuk menggunakan kaedah pembayaran elektronik seperti MyDebit, FPX, JomPAY, DirectDebit, dan DuitNow QR apabila berurusan dengan agensi kerajaan.
Hui Ying berkata, perkembangan pembayaran digital dalam sektor kewangan ini adalah seiring dengan transformasi digital kerajaan sebagaimana yang telah digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, atau pun lebih dikenali sebagai MyDIGITAL Economy Blueprint.
“MyDIGITAL adalah satu inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
“Oleh itu, pelaksanaan pembayaran tanpa tunai adalah satu keperluan masa kini bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kebolehcapaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan; sekali gus dapat memudah dan membantu rakyat membuat transaksi dengan lebih pantas dan selamat, sama ada di peringkat domestik mahupun global,” katanya.
-BeritaHarian