EU tangguh peraturan nyahhutan, legakan pengeluar sawit Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Majlis Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi menerima penangguhan pelaksanaan peraturan penyahhutanan EU selama setahun.

-Advertisement-

Penganalisis perladangan umum berpendapat, langkah penangguhan ini memberi kelegaan kepada pengeluar minyak sawit Malaysia yang sebelum ini berdepan cabaran dalam mematuhi peraturan itu.

Menurut kenyataan yang diterbitkan dalam laman web rasmi Majlis EU, penangguhan ini bertujuan membolehkan negara anggota, peniaga, dan pengendali di negara ketiga membuat persediaan rapi bagi memenuhi kewajipan usaha wajar mereka.

“Ini bagi memastikan komoditi dan produk tertentu yang dijual di EU atau dieksport dari EU adalah bebas daripada proses penyahhutanan,” kata majlis itu.

Antara produk yang tertakluk di bawah peraturan ini termasuklah produk berasaskan ternakan, kayu, koko, soya, minyak sawit, kopi, getah dan beberapa produk terbitan.

Majlis EU menjelaskan bahawa penerimaan penangguhan ini merupakan langkah terakhir dalam prosedur perundangan, dan peraturan tersebut akan ditandatangani serta diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU sebelum dikuatkuasakan akhir tahun ini.

-Advertisement-

Sehubungan dengan penangguhan ini, tarikh penguatkuasaan peraturan tersebut akan bermula pada 30 Disember 2025 berbanding tarikh asal 30 Disember 2024.

“Langkah ini akan memberi lebih kejelasan dari segi perundangan dan masa yang mencukupi untuk pelaksanaan peraturan yang lancar dan berkesan,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, pada 16 Oktober, Majlis EU telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) selama 12 bulan.

EUDR mewajibkan komoditi yang dijual di EU bebas daripada aktiviti penyahhutanan.

Keadaan itu menimbulkan cabaran kepada pengeluar minyak sawit Malaysia kerana kos pematuhan dianggarkan mencecah AS$650 juta (RM2,926 bilion) setiap tahun, dengan AS$260 juta (RM1.17bilion) memberi kesan langsung kepada pekebun kecil.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427