JAKARTA/SINGAPURA: Unit perniagaan MR D.I.Y Group Bhd (MR D.I.Y) di Indonesia mencatat diskaun ketika memulakan dagangan sulung di pasaran saham republik itu hari ini, mengumpul 4.16 trilion rupiah (RM1.15 bilion), menjadi tawaran awal permulaan (IPO) terbesar negara berkenaan dalam tempoh lebih setahun.
Saham Daya Intiguna Yasa, syarikat sekutu peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, dibuka pada harga 1,550 rupiah (42 sen), enam peratus lebih rendah daripada harga IPO iaitu 1,650 rupiah (45.6 sen) sesaham, sebelum merosot sehingga 24.8 peratus kepada 1,240 rupiah (34.3 sen) di bursa saham Jakarta.
Penyenaraian Daya Intiguna Yasa di tengah-tengah kelemahan meluas saham Asia selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa penurunan kadar faedah akan diperlahankan pada tahun-tahun akan datang.
Hasil bon meningkat, dan dolar AS berada hampir pada paras tertinggi dua tahun semalam.
Saham syarikat sekutu MR D.I.Y itu kemudiannya kembali pulih, sebelum meningkat 1.8 peratus kepada 1,620 rupiah (44.8 sen) sesaham, manakala indeks saham penanda aras tempatan susut 1.53 peratus.
Menurut prospektus Daya Intiguna Yasa, kumpulan menawarkan 10 peratus ekuiti atau sehingga 2.52 bilion saham, dan merancang menggunakan sebahagian besar dana yang diraih IPO untuk membayar pinjaman bank, diikuti dengan pelancaran lebih banyak kedai, selain diperuntukkan untuk modal kerja.
Syarikat ini memiliki lebih daripada 900 kedai di seluruh Indonesia sejak membuka kedai pertamanya pada 2017, demikian menurut laman webnya.
Keuntungan bersih Daya Intiguna Yasa meningkat 253 peratus kepada 534.22 bilion rupiah (RM147.7 juta) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 151.19 bilion rupiah (RM41.8 juta) pada tempoh yang sama tahun lalu, menurut prospektusnya.
Penyenaraian Daya Intiguna Yasa menjadi IPO terbesar di Indonesia dalam lebih setahun, selepas Amman Mineral Internasional pada Julai 2023, menurut data yang dikumpulkan oleh LSEG.
Hasil IPO yang dikumpulkan di Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, merosot 83 peratus kepada AS$616.2 juta (RM2.75 bilion) tahun ini berbanding AS$3.55 bilion (RM15.8 bilion) pada 2023, menurut data LSEG.
Kemerosotan penyenaraian berlaku di tengah-tengah pilihan raya Indonesia dan peralihan kepimpinannya tahun ini.
-Reuters