IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta menghubungi pengendali platform media sosial TikTok, berkaitan aduan kehilangan wang dari akaun e-dagang platform itu seperti yang tular di media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata aduan itu dianggap sebagai ‘trend’ merisaukan dan punca masalah perlu dikenal pasti sebelum tindakan sewajarnya diambil.
“Kita sedar ramai rakyat Malaysia termasuk mereka yang terbabit dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS ) memanfaatkan platform seperti TikTok untuk berniaga.
“Kalau ada ‘trend’ merisaukan seperti dimaklumkan, saya minta MCMC berhubung dengan TikTok untuk mengenal pasti masalahnya.
“Kita cuba fahamkan dahulu sebelum ambil sebarang tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian majlis Perak Economic Outlook 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.
Majlis turut menyaksikan acara menandatangani memorandum persetujuan (MoU) antara MCMC dan Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak).
Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan MCMC, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Fahmi ditanya mengenai dakwaan beberapa pengguna TikTok mengenai wang dalam akaun jual beli e-dagang atau TikTok Shop hilang atau berkurangan dari jumlah asal tanpa transaksi.
Sementara itu, MCMC dan Digital Perak menerusi kenyataan bersama pada majlis permeteraian MoU itu, menggariskan usaha kolaboratif untuk mengenal pasti dan melaksanakan elemen teras bandar pintar.
Selain itu, mereka juga akan meneroka pembinaan kapasiti e-dagang dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui program latihan di Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk komuniti di seluruh Perak.
“Menerusi kerjasama strategik itu, MCMC akan menyediakan kepakaran teknikal kepada Digital Perak membabitkan infrastruktur digital, rangkaian dan liputan jalur lebar, tadbir urus pintar, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.
“Digital Perak dan MCMC akan mempercepat pembangunan infrastruktur digital dan memperkenal inisiatif negeri sebagai pelengkap dan sokongan bagi agenda pendigitalan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ia menarik pelaburan dan mewujudkan ekonomi digital yang inklusif untuk negeri Perak dan Malaysia.
“Awal tahun ini, program perintis seperti Masyarakat Tanpa Tunai dan Program Pendigitalan Usahawan telah dilancarkan, termasuk pengenalan kepada S.M.A.R.T Niaga@Perak, iaitu platform e-dagang bagi perusahaan kecil dan sederhana yang dipacu Digital Perak.
“Kolaborasi bersama MCMC akan menggiatkan program sebegini dengan inisiatif baharu seperti Pusat Kawalan dan Pemantauan Negeri Perak, projek Smart Forest membabitkan sambungan jalur lebar di kawasan hutan simpan dan ekopelancongan serta penubuhan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Negeri Pintar.
“Pelancaran disasar pada awal 2025 dan disiapkan seawal 2026.
“Ini antara projek penting untuk menangani cabaran dihadapi negeri dan PBT bagi memastikan langkah penjimatan kos cekap dan penyampaian perkhidmatan awam berkesan, di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan,” kata kenyataan itu.
-BeritaHarian