KUALA LUMPUR: Meskipun pertembungan terakhir Kumpulan A Piala AFF 2024 antara Malaysia berdepan Singapura berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun Singapura sebenarnya memiliki ‘kelebihan’ untuk merebut slot ke separuh akhir.
Situasi itu diakui pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang melihat skuad ‘Lions’ ada kelebihan besar memandangkan mereka yang ketika ini mengatasi Malaysia dengan dua mata hanya memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Justeru, pengendali dari Sepanyol itu mengharapkan barisan pemainnya dapat tampil dengan aksi yang lebih mantap memandangkan segala-galanya kini bergantung di tangan mereka bagi perlawanan penting malam esok.
“Ini adalah perlawanan yang sengit dan saya jangkakan sukar untuk kita mendapatkan kemenangan yang besar. Tetapi apa yang penting adalah kita perlu mendapatkan kemenangan dan Singapura juga agak keletihan.
“Cuma Singapura ada kelebihan kerana satu mata sudah cukup untuk mereka layak (ke separuh akhir). Jadi kita perlu mengambil risiko dan memberikan segalanya kerana kita perlu menang ke atas Singapura.
“Kami menantikan perlawanan esok dan mengharapkan kehadiran penyokong dapat membantu kita dalam misi ke separuh akhir Piala AFF 2024,” kata Vicente pada sidang media pra perlawanan di SNBJ, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Vicente juga memberi jaminan mereka akan menurunkan barisan terbaik bagi perlawanan terbabit walaupun berdepan cabaran selepas ‘kehilangan’ pemain yang terpaksa pulang bagi aksi kelab masing-masing.
“Kita kehilangan pemain sepanjang tempoh ini, jadi kita hanya dapat menjalani satu sesi latihan dengan kehadiran semua pemain. Jadi kita perlu pertimbangkan status pemain dan kemudiannya memutuskan barisan yang terbaik.
“Kita akan menurunkan barisan pemain yang boleh bersaing dan memberikan kemenangan. Sama ada pemain sama ataupun tidak, kita harapkan pemain dapat meneruskan persembahan seperti ditunjukkan sebelum ini,” katanya.
-BeritaHarian