PASIR MAS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada sekolah yang terjejas banjir bermula tahun hadapan.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi, berkata antaranya semua bilik guru, bilik simpanan buku teks serta makmal di setiap sekolah yang terdedah banjir perlu berada di tingkat atas.
Sementara kelas pula, katanya akan disediakan peralatan yang diperbuat daripada plastik seperti meja dan kerusi yang dapat mengurangkan risiko kemusnahan akibat ditenggelami banjir.
“Kementerian akan memberi peruntukan segera kepada mana-mana sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir agar proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan lancar.
“Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pengetua di setiap sekolah diminta membuat laporan segera berkaitan kemusnahan dan kerugian dihadapi.
“Saya sendiri turun padang melihat kesan banjir yang berlaku di sekolah yang terjejas dan berkemungkinan ia berhadapan kerugian membabitkan ratusan ribu ringgit,” katanya ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, di sini, hari ini.
Ruji berkata sebanyak 15 sekolah membabitkan sekolah rendah dan menengah terjejas banjir di Kelantan terutama di jajahan terutama Pasir Mas dan Tumpat.
“KPM sekarang memfokuskan untuk membaik pulih kerosakan dengan segera agar PdP dapat dijalankan dengan lancar pada tahun.
“Malah, KPM mengingatkan pihak sekolah agar mengambil tindakan awal dengan menempatkan barangan penting di tingkat atas yang bebas air jika berlaku gelombang kedua.
“Bagaimanapun, (kira berdoa) semoga tiada lagi banjir besar melanda kerana impaknya amat besar termasuk kemusnahan harta benda sekolah,” katanya.
-BeritaHarian