SEREMBAN: “Serba tak menjadi malam ini (malam tadi),” kata pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Nanthakumar selepas pasukannya tewas 4-0 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Pengendali itu nyata kecewa dengan persembahan anak buahnya meskipun sudah merangka strategi terbaik dalam misi mempertahankan kelebihan selain berhasrat menamatkan badi kekalahan di laman sendiri musim ini.
“Nampak hari ini kurang, semua bahagian termasuk pertahanan, tengah dan serangan tidak menjadi, saya pun tak tahu apa masalah dengan persembahan malam ini.
“Saya akan bincang dengan pemain bagi memperkemaskan balik pasukan dan menangani setiap kelemahan sebelum kita berdepan dengan perlawanan berikutnya,” katanya selepas perlawanan malam tadi.
Skuad Hobin Jang Hobin dilihat berusaha keras untuk menyaingi kepantasan pemain Gergasi Merah Kuning dan berjaya mendapatkan beberapa peluang jaringan, namun percubaan daripada barisan serangan antaranya A Selvan dan Hadin Azman tidak menepati sasaran selain gawang pasukan itu dikawal kemas penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz.
Sebaliknya, Selangor yang tampil dengan persembahan agresif mudah menembusi benteng Negeri Sembilan menerusi jaringan Aliff Haiqal Lukman Hakim pada minit ke-15 disusuli gol oleh Alvin Mateus Fortes (minit ke-39), Quentin Cheng Jiun (minit ke-47) dan Jose Orozco pada minit ke-60.
Menurut Nanthakumar, kehilangan tonggak pertahanan berpengalaman Che Rashid Che Halim yang dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama, nyata memberi impak ketara kepada pertahanan pasukan itu.
“Kad merah memberi gangguan kepada kita. Beraksi 10 orang pada sebahagian perlawanan memberi kesukaran buat Negeri Sembilan untuk mengimbangi kekuatan Selangor yang menurunkan hampir keseluruhan pemain terbaik mereka,” tambahnya.
-BeritaHarian