KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ke pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang, berjaya ditahan polis.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Dewan Bahasa, di sini kira-kira jam 5 pagi Isnin lalu sebelum polis menemui dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin semasa memeriksa kereta dipandunya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata hasil soal siasat mendapati lelaki itu dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah MDMA ke pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang.
“Suspek yang tiada rekod jenayah dipercayai aktif dalam pengedaran dadah ke pusat hiburan sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, anggota MPV yang membuat pemeriksaan ke atas Perodua Bezza dipandu lelaki tu menemukan dadah MDMA seberat 650 gram (g) dan ketamin seberat 8.2g, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6,140.
“Polis merampas Perodua Bezza berkenaan dan sebuah iPhone yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah kepada pelanggan. Suspek direman tujuh hari sehingga 1 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah kecil-kecilan ditahan polis di Jalan Tun Tan Siew Sin, di sini kelmarin dan sejumlah heroin seberat 26.10g dianggar bernilai RM652 dirampas.
Katanya, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira 11.50 malam dan soal siasat mendapati dia dipercayai aktif mengedar dadah dalam skala kecil-kecilan di sekitar Jalan Petaling, di sini.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 20 kesalahan lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif morfin.
“Suspek direman tujuh hari sehingga 3 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau pertanyaan supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau IPD Dang Wangi di 03-26002222.
-BeritaHarian