Beregu lelaki negara belum memuaskan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen akur banyak ‘kerja rumah’ diperlukan barisan pemainnya selepas prestasi keseluruhan ditampilkan mereka pada tahun ini dilihat tidak mencapai tahap memuaskan.

-Advertisement-

Justeru, Bin Shen mahu rehat lebih daripada sebulan yang diperoleh rata-rata pemainnya kecuali Aaron Chia-Soh Wooi Yik dimanfaatkan sepenuhnya sebelum menempuh cabaran baharu pada tahun depan.

Bin Shen berkata, antara faktor mempengaruhi prestasi beregu lelaki negara tahun ini adalah disebabkan kecederaan melanda beberapa pemain selain persembahan tidak konsisten dalam gelanggang.

“Selain Aaron-Wooi Yik, saya boleh katakan yang secara keseluruhan ia nampak kurang. Jadi saya ada melakukan perbincangan dengan mereka untuk lihat apa yang perlu kita tambah lagi, apa yang kurang dan perlu dipertingkatkan untuk tahun depan.

“Ada kalanya mereka dapat bermain dengan bagus tetapi kemudian mengalami kecederaan dan perlu memulakan semula. Jadi dalam beberapa kejohanan, memang nampak mereka tak begitu yakin dan susah mendapat semula momentum.

“Kita mempunyai sebulan jadi dalam tempoh ini, saya berharap mereka dapat memperbaiki perkara yang mereka perlu pertingkatkan terutama ketika bertanding dalam kejohanan.

-Advertisement-

“Bagi saya, kedua-duanya dari sudut permainan dan mental perlu diperbaiki. Dari sudut permainan, mereka belum berada di sana (terbaik dunia) kerana sebagus mana kamu berlatih, jika tiba di perlawanan ada perasaan teragak-agak, keyakinan boleh hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Bin Shen memuji sikap tidak kenal erti mengalah Aaron-Wooi Yik yang menyaksikan mereka melayakkan diri ke kejohanan Jelajah Dunia Final BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Hangzhou, China bulan depan.

“Mereka (Aaron-Wooi Yik) cuba sehingga penamatnya dan akhirnya berjaya layak jadi ia sesuatu yang bagus. Persaingan di sana nanti juga pasti sengit kerana ia membabitkan pemain-pemain terbaik dunia.

“Bagi saya Aaron-Wooi Yik hanya perlu fokus perkara yang membabitkan perincian. Bagus mereka dapat mengharungi perlawanan ini kerana dari sana kita kita boleh nilai prestasi mereka kerana jika hanya berpandukan kepada latihan, kita tidak dapat lihat di mana tahap mereka,” katanya.

Sebagai rekod, gandingan beregu terbaik negara adalah Aaron-Wooi Yik yang mengisi ranking lima dunia diikuti gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking 14 dunia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (19), Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (22).
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427