‘Cucu kerap mimpi ibu bapa mereka’, – Nenek

Estimate Reading Time: 2 minutes

PASIR GUDANG: “Sejak arwah anak dan menantu pergi, cucu kerap mimpikan mereka, mungkin terlalu rindu,” kata Ramlah Kasiran, 56.

-Advertisement-

Katanya, dia hanya mampu memberi semangat kepada cucunya untuk lebih tabah dan lebih banyak berdoa untuk arwah ibu bapa mereka supaya tenang di sana.

Menurutnya, anak arwah dalam proses memahami dan menerima kenyataan ketiadaan insan kesayangan mereka.

“Sehingga kini saya tidak pernah mimpi arwah anak atau isterinya, sebaliknya cucu menyatakan mereka mimpi arwah seolah-olah menangis.

“Apa pun mereka kuat dan bagi anak bongsu arwah, dia memang sudah biasa bersama kami, oleh itu dia belum memahami apa yang sudah berlaku.

“Kami juga akan memastikan anak arwah menerima didikan agama secukupnya dan berharap mereka sentiasa dirahmati Allah,” katanya.

Ramlah berkata, dia dimaklumkan peguam bahawa suspek yang melanggar arwah anak dan menantunya akan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Menurutnya, keluarganya tidak ke mahkamah sebaliknya hanya menunggu maklumat dan perkembangan daripada peguam yang dilantik.

“Kami berharap semuanya berjalan dengan lancar dan berserah kepada siasatan dan tindakan mahkamah.

-Advertisement-

“Kami berdoa kes ini menerima pembelaan dan keadilan,” katanya.

Ramlah berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor, Tong Sing Chuang di Flat Taman Cendana di sini hari ini.

Sing Chuang berkata, pihaknya menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat sejumlah RM3,000 dan Faedah Pencen Penakat sejumlah RM857 bagi arwah Mohamad Redzwan Mohd Rudi, 37.

Menurutnya, anak arwah bakal menerima pencen penakat setiap bulan sehingga yang anak bongsu mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Katanya, bagi kes Allahyarham Linda Mohd A Aziz, 35, majikannya iaitu pengusaha restoran didapati gagal mencarum PERKESO.

“Ia masih dalam tindakan PERKESO, sepatutnya keluarganya menerima faedah orang tanggungan kerana kemalangan berlaku ketika Linda dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Arwah adalah pelayan di restoran dan bekerja di situ sejak lima bulan lalu,” katanya

Pada 16 November lalu, Mohd Ridzwan dan isteri, Linda maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario ditunggang dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/ Jalan Mesjid di sini.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427