KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih pengendali kedai serbaneka, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd susut 24 peratus kepada RM10.9 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 daripada RM14.38 juta dalam tempoh sama tahun lalu berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.
Perbelanjaan operasi meningkat 8.6 peratus terutamanya disebabkan oleh operasi kedai dan logistik yang lebih tinggi, termasuk waktu operasi yang lebih panjang dan penambahan tenaga kerja seiring dengan peningkatan bersih sebanyak 79 kedai baharu.
Bagaimanapun, hasil bagi suku itu meningkat 5.5 peratus kepada RM744 juta berbanding RM705 juta sebelumnya.
Walaupun mencatatkan suku tahun lebih lemah, syarikat menjangkakan prestasi lebih kukuh pada suku terakhir 2024, disokong oleh perayaan akhir tahu dan kenaikan gaji penjawat awam.
7-Eleven berkata ia pada masa ini mempunyai 2,611 kedai selepas menambah 79 kedai serbaneka baharu dan 285 kedai format 7-CAFé pada suku tersebut.
“Tumpuan kami untuk segmen kedai serbaneka terus tertumpu pada pengembangan format kedai 7-CAFé, yang penting dalam mengembangkan pilihan produk, menambah baik pengalaman pelanggan dalam kedai dan memacu pertumbuhan dalam kategori makanan segar,” katanya.
Bagi sembilan bulan pertama, keuntungan bersih 7-Eleven merosot 20 peratus kepada RM44 juta manakala hasil meningkat 4.3 peratus kepada RM2.09 bilion.
-BeritaHarian