MCPF gesa penjualan vape diharamkan atau gantung sementara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa supaya penjualan peranti rokok elektronik atau vape diharamkan atau sekurang-kurangnya digantung buat sementara supaya isu berkenaan dapat dilihat secara menyeluruh.

-Advertisement-

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata ini bertujuan bagi memberi laluan kepada kajian terhadap mekanisme dan dasar yang lebih efektif bagi mengawalnya.

Katanya, penagihan bahan mengkhayalkan seperti itu bukan saja memberi kesan negatif kepada perkembangan otak manusia malah boleh menjurus kepada aktiviti tidak sihat seperti mencuri dan merogol.
“Ini termasuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu selain penguatkuasaan berkesan dan sistematik untuk mengawal penyalahgunaan peranti ini oleh kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

“Meskipun cecair vape tidak memberi kesan dadah dalam tubuh seseorang, namun penggunaan cecair perisa seperti “magic mushroom” boleh memberi ransangan halusinasi dan khayal serta kesan negatif lain kepada penghisapnya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional namun menyerahkan ia kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dalam menentukan dasar masing-masing.

-Advertisement-

Semalam Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya vape diharamkan secara total bagi mengelakkan mudarat lebih besar kepada masyarakat terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak sekolah.

Mengulas lanjut, Ayub berkata Malaysia sepatutnya mencontohi Singapura yang mengharamkan terus penggunaan dan penjualan vape.

Katanya, menurut undang-undang republik itu, individu yang memiliki, membeli atau menggunakan rokok elektronik dan komponen berkaitan boleh didenda sehingga S$2,000 (RM7,000) bagi setiap kesalahan.

“Ia juga satu kesalahan untuk menjual, memiliki dengan niat untuk menjual, mengimport atau mengedar rokok elektronik dan komponen berkaitannya.

“Pesalah boleh didenda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan didenda sehingga S$20,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427