Remaja maut akibat renjatan: Garis panduan pendawaian elektrik siap 6 bulan lagi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Garis panduan menyeluruh berhubung pendawaian elektrik dalam bas akan siap dibangunkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

-Advertisement-

Beliau berkata, ia memerlukan masa kerana pihaknya perlu mengadakan libat urus dengan pemegang taruh untuk membuat perubahan daripada segi peraturan.

Katanya, ia termasuk perlu melalui proses dalaman kementerian serta kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Paling penting ialah susulan daripada insiden ini, satu garus panduan yang lebih menyeluruh mengenai pendawaian elektrik bas diperlukan. Ini sesuatu yang kita kenal pasti ada kelompongan.

“Sebab ini memang tidak ada syarat untuk bas membuatnya mengikut piawaian daripada segi pendawaian elektrik.

“Dalam aspek mekanikal dan lain-lain memang ada syarat untuk mereka patuhi sebelum mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui kejuruteraan automotif.

-Advertisement-

“Tetapi dari segi pendawaian elektrik, tidak ada peraturan itu. Daripada insiden (remaja maut direnjat) amat menyedihkan, tetapi ia menyebabkan kesedaran perlunya ada satu ketetapan atau garis panduan dalam bas,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Loke berkata, kerajaan sentiasa memandang serius aspek keselamatan penumpang pengangkutan awam supaya setiap pengguna berasa lebih selamat ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Itu sebabnya, beliau berkata, langkah-langkah pemantauan lebih ketat akan terus dilaksanakan untuk memastikan kejadian seumpamanya tidak akan berulang di masa akan datang.

“Bagi mengelakkan sebarang risiko yang membahayakan keselamatan pengguna dan mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan, MOT menyusun langkah penambahbaikan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang lebih ketat dilaksanakan.

“Ia termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aspek pendawaian elektrik dan kelengkapan berkaitan dalam kenderaan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427