Aaron-Wooi Yik langkah kanan di Masters China

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen di Masters China dengan langkah kanan apabila mengesahkan tempat ke pusingan kedua pada aksi di Gimnasium Shenzhen, hari ini.

-Advertisement-

Pasangan yang kini menghuni ranking lima dunia itu mara selepas menewaskan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-12, 21-18 dalam tempoh 39 minit.

Aaron-Wooi Yik yang masih belum mengesahkan tiket ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China bulan depan ketika ditemuramah BWF berharap prestasi konsisten dapat diteruskan dalam perlawanan selepas ini.

“Kami dapat bermain seperti yang kami mahukan dan gembira dapat konsisten dalam kedua-dua set.

“Saya fikir kadang kala tekanan (mara ke Hangzhou) boleh mengganggu jadi lebih baik untuk kami memberi tumpuan permainan demi permainan. Kami percaya yang jika kami melakukan yang terbaik ia akan membuahkan hasil,” kata Aaron.

-Advertisement-

Berdasarkan kedudukan terkini ranking ke Hangzhou, Aaron-Wooi Yik mengisi tempat kesembilan dengan hanya lapan beregu terbaik akan layak bertanding di kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan itu.

Begitupun, dengan hanya dua wakil daripada sesebuah negara dibenarkan beraksi, Aaron-Wooi Yik perlu menyingkirkan satu lagi wakil negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kini berada di kedudukan ketujuh untuk mara.

Sementara itu, turut mara ke pusingan kedua adalah beregu profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang menewaskan pasangan Thailand, Peeratchai Sukhpun-Pakkapon Teeraratsakul 21-19, 21-15.

Dalam acara beregu campuran, pasangan utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa bekerja keras oleh beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales sebelum menang 21-23, 21-9, 21-12 dalam tempoh 58 minit.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427