Rubin akui operasi perlombongan di Sabah sukar diluluskan, babitkan kos jutaan ringgit

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Prosedur untuk mendapatkan kelulusan operasi perlombongan di negeri ini perlu melalui proses yang amat sukar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kemabong Datuk Rubin Balang.

-Advertisement-

Beliau yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah mengesahkan perkara itu bagi merujuk video tular disiarkan dalam sebuah portal berita tempatan, baru-baru ini.

Pada video itu, Rubin dirakam mengatakan sukar untuk mendapatkan kelulusan perlombongan walaupun ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) atau ketika Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Anak pertama saya (bukan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Balang) mempunyai latar belakang dan pengetahuan dalam bidang perlombongan dan saya tahu dia pernah membuat permohonan perlombongan ketika pentadbiran Musa.

“Ketika itu, tiada jawatankuasa mahupun jabatan (negeri) ditubuhkan kerana tiada pegawai berpengalaman.

“Tetapi apabila pegawai lebih berpengalaman bekerja dalam Kerajaan Persekutuan ditugaskan kembali ke Sabah, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor menubuhkan jabatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan satu klip audio dan empat klip video memaparkan perbualan beberapa ADUN Sabah dengan individu dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan.

Selain Rubin, antara ADUN lain yang dikaitkan dengan klip audio itu adalah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

-Advertisement-

Beberapa ADUN di Sabah sebelum ini dikaitkan dengan kes rasuah apabila kandungan video dan audio berkaitan perolehan projek mineral tular dalam laman media sosial, yang mendedahkan perkara itu.

Rubin yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (SEDCO) berkata, di sebalik penubuhan jabatan negeri baharu itu, proses untuk mendapatkan kelulusan akhir masih mengambil masa beberapa tahun dan memerlukan kos tinggi.

Beliau berkata, pemohon perlu mendapatkan surat minat daripada Jabatan Tanah dan Ukur kerana kegiatan perlombongan membabitkan sumber asli.

“Selepas mereka bersetuju, bayaran RM400,000 perlu dibuat kepada kerajaan negeri, diikuti semakan lanjut untuk menentukan sama ada terdapat galian atau tidak.

“Langkah seterusnya memerlukan kebenaran lanjut daripada Jabatan Tanah dan Ukur atau Jabatan Perhutanan.

“Sebagai contoh, untuk memeriksa tanah seluas 809.4 hektar, perlu menggerudi sehingga 100 meter menggunakan mesin khas, namun itu tidak menjamin jumlah dan kualiti galian yang diterokai,” katanya.

Selain itu, Rubin berkata, proses terbabit mengambil masa selama beberapa tahun dan menelan belanja jutaan ringgit tanpa sebarang jaminan kejayaan memperoleh projek perlombongan itu.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427