Isu graduan menganggur dan masalah ketidakpadanan kursus diambil dengan keperluan industri sudah lama diperdebatkan. Malah, pendedahan Bank Dunia kelmarin bahawa Malaysia berdepan jurang besar di antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan tersedia setanding kelayakan mereka apabila satu kekosongan jawatan berkemahiran tinggi kini direbut enam graduan.
Pendedahan ini memerlukan satu usaha tuntas untuk ditangani. Apa yang kita bimbang, perkembangan terbaharu itu menunjukkan wujud kekurangan peluang pekerjaan kemahiran tinggi di negara ini, malah wujud ketidakpadanan kemahiran di antara graduan baharu dan kemahiran sebenar diperlukan pasaran pekerjaan.
Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia ke-30 yang dikeluarkan Oktober lalu menunjukkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran di negara ini, meningkat kepada 37.3 peratus pada 2022 berbanding 27.2 peratus pada 2010.
Data ini menunjukkan isu graduan menganggur bukan bersifat bermusim, sebaliknya satu cabaran merentas masa dan zaman, sekali gus menuntut penilaian semula dasar pendidikan tinggi negara serta perlunya mekanisme pemadanan pekerjaan yang jelas serta realistik mengikut kehendak industri.
Bermakna, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menilai serta meneliti semula program ditawarkan terutama dalam bidang kritikal atau segmen kemahiran tahap tinggi yang diperlukan industri serta pelabur. Industri hari ini cenderung memilih graduan berkelulusan teknologi global terutama bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), digital, tenaga hijau, kejuruteraan dan bidang profesional berkaitan.
Bermakna, IPT perlu lebih proaktif dan bertindak pantas melahirkan graduan mampu memenuhi keperluan industri dalam bidang berkenaan. Sebagai contoh, negara masih jauh ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) unsur nadir bumi (REE) sehingga terpaksa ‘mengimport’ pakar dari luar terutama China untuk memajukan bidang ini.
IPT juga dilihat masih ‘terkapai-kapai’ bagi memenuhi keperluan industri dalam bidang kritikal baharu seperti tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Sedangkan pada masa sama, banyak pelabur asing berminat melabur dalam industri berkenaan.
Justeru, KPT, IPT, Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Ekonomi, Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) perlu duduk semeja bagi merangka strategi menangani pemadanan pekerjaan ini secara efektif dalam jangka pendek serta jangka panjang. Ia memerlukan kerjasama komuniti industri.
Namun, graduan juga perlu melakukan transformasi seperti menguasai kemahiran tambahan relevan dengan industri, menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja, membina pengalaman praktikal melalui kerja sambilan atau projek sampingan dan membina rangkaian profesional untuk mencari peluang.
Persekitaran pembelajaran dan pekerjaan dunia global hari ini menuntut graduan memiliki nilai tambah tersendiri, kemahiran insaniah, berdikari, menguasai pelbagai bahasa asing dan celik teknologi digital.
-BeritaHarian