SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dijangka memuktamadkan ratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal 2025.
Pelaksanaan pengurusan sisa pepejal bersama kerajaan Persekutuan melalui ratifikasi akta itu dijangka mengurangkan kos ditanggung kerajaan negeri melalui anak syarikatnya KDEB Waste Management (KDEBWM).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ketika ini kos ditampung KDEBWM bagi memungut satu tan sampah dianggar RM7 hingga RM8 berbanding nilai sebenar pada RM14 hingga RM15.
Katanya, kos tambahan itu ditanggung KDEBWM yang menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kekangan kewangan, sekali gus sukar membuat pelaburan membeli lori, peralatan baharu dan sebagainya.
“Dengan Akta 672, jurang itu akan diisi dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan kita sedia berbincang.
“Harapnya akhir tahun ini atau awal 2025 dapat selesai,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Selangor Education Summit 2024 di sini, hari ini.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan menerima nota hasrat daripada kerajaan Selangor bagi meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Amirudin berkata, dengan menandatangani akta berkenaan, Selangor dijangka menyelesaikan masalah kos dan kewujudan tapak pelupusan sampah haram di negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, SES 2024 yang julung kali diadakan pada 27 November hingga 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) akan mengumpulkan beberapa program pendidikan anjuran agensi kerajaan dan pelbagai pihak.
Katanya, 150,000 pengunjung dijangka menghadiri sidang kemuncak yang merangkumi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024, Selangor Research Development and Innovation Expo 2024, serta Selangor Advance Skills dan Selangor EDU-STEM Carnival.
“Penganjuran SES 2024 bertujuan memperkasa agenda pendidikan dan penyediaan modal insan berkemahiran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ia juga akan meningkatkan kerjasama pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan serta industri dan penyedia teknologi dari dalam dan luar negara,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga akan melancarkan Baucar Buku Kita Selangor yang dibentangkan pada Belanjawan Selangor 2025, Jumaat lalu.
-BeritaHarian