Isu 6 graduan rebut satu jawatan kemahiran tinggi: Menteri Sumber Manusia beri penjelasan

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Cabaran dan trend ekonomi yang sentiasa berubah menyukarkan negara menyelesaikan isu jurang besar dihadapi graduan berpendidikan tinggi untuk memperoleh pekerjaan selari kelayakan akademik dan gaji setimpal.

-Advertisement-

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, mengakui jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang ada di Malaysia ketika ini tidak seimbang dengan graduan yang dilahirkan universiti setiap tahun.

“Laporan Bank Dunia menyebut Malaysia ada isu membabitkan peluang pekerjaan bergaji tinggi. Setiap tahun, kita ada 50,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan, tetapi jumlah graduan sangat besar, iaitu 300,000 orang.

“Kalau nak naikkan gaji dan upah, ada pelbagai tindakan telah diambil kerajaan, antaranya sudah dibuat gaji minimum, sekarang melalui gaji progresif.

“Selain itu, buat pertama kali, akan diterbitkan panduan gaji yang akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini.

“Ia yang pertama seumpamanya (dilaksanakan KESUMA) bagi membantu pasaran pekerjaan dan membolehkan kadar gaji lebih baik diberikan kepada mahasiswa kita,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau Terhadap Tenaga Kerja Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Sim, situasi ekonomi semasa turut menyukarkan negara mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji berbaloi bagi graduan yang memiliki kemahiran tinggi.

“Kita turut berdepan isu ekonomi yang menyukarkan (usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi). Jika kita ikut trend ekonomi (semasa), memang ia tidak mampu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi yang baharu.

“Itulah sebabnya kerajaan wujudkan kerangka Ekonomi MADANI yang secara asasnya untuk menaikkan nilai ekonomi kita,” katanya menambah kerajaan bagaimanapun tetap mempergiatkan usaha mencipta peluang pekerjaan bagi graduan bependidikan tinggi.

Ia termasuk dana diperuntukkan melalui Belanjawan 2025, RM40 bilion dalam bentuk geran dan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya boleh melakukan peningkatan semula kemahiran atau ‘reskilling’.

Selain itu, katanya, KESUMA berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelbagai inisiatif terutama mengenal pasti kursus atau bidang pengajian berpotensi pada masa depan.

“Ia termasuk merangka kolaborasi melalui Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara,” katanya.

BH hari ini melaporkan, Bank Dunia mendapati Malaysia berdepan jurang besar di antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan peluang pekerjaan tersedia setanding kelayakan mereka apabila satu kekosongan jawatan berkemahiran tinggi kini direbut enam graduan.

-Advertisement-

Ahli Ekonomi Bank Dunia, Alyssa Farha Jasmin dipetik berkata, perkembangan itu menunjukkan wujud kekurangan peluang pekerjaan kemahiran tinggi di Malaysia, selain ketidakpadanan kemahiran di antara graduan baharu dan kemahiran sebenar yang diperlukan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, tahap guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran atau ‘underemployment’ yang meningkat secara ketara boleh menjejaskan kemajuan untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi secara mampan jika situasi itu berterusan.

Guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ditakrifkan sebagai mereka yang berpendidikan tinggi tetapi membuat pekerjaan separa mahir dan pekerjaan berkemahiran rendah.

Laporan terkini Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia ke-30 yang dikeluarkan pada Oktober 2024 menunjukkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran di negara ini, meningkat kepada 37.3 peratus pada 2022 berbanding 27.2 peratus pada 2010.

Kajian HRD Corp juga menunjukkan kira-kira 82 peratus majikan melaporkan pekerja sedia ada, tidak cukup mahir atau berpengalaman.

Satu kajian dibuat Bank Dunia pada 2020 juga melaporkan lebih 40 peratus syarikat sektor pembuatan dan perkhidmatan menghadapi kesukaran mencari pekerja yang mempunyai kemahiran kepimpinan, komunikasi, menyelesaikan masalah serta kemahiran umum teknologi maklumat (IT).

Menurut Alyssa, keadaan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran itu juga wujud berikutan ramai pencari kerja mungkin tertarik waktu kerja yang fleksibel menyebabkan mereka berminat kepada pekerjaan berkait ekonomi gig, sekali gus menjauhi pekerjaan berkemahiran tinggi.

Jika isu ini berlarutan, tambahnya, Malaysia mungkin menghadapi peningkatan pengaliran keluar pekerja mahir, sekali gus akan mengurangkan produktiviti.

Ia kemudian akan meningkatkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang berleluasa yang menjadi halangan kepada kemajuan Malaysia ke arah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Dapatan Bank Dunia itu dilihat sejajar kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini yang mendapati realiti pasaran kerja bagi graduan universiti di Malaysia, kekal suram dengan gaji permulaan graduan baharu hampir tidak berubah dalam dekad yang lalu.

Kajian KRI menunjukkan pada 2021, sebanyak 60 peratus graduan baharu menerima gaji bawah RM2,000 bagi pekerjaan pertama mereka, berbanding 61 peratus pada 2010.

Walaupun jumlah individu berpendidikan tinggi terus meningkat, pertumbuhan pekerjaan mahir tetap tidak berkembang sejak 2002, menjadikan isu terlebih kelayakan sebagai kebimbangan utama.

Kajian yang sama turut mendapati satu pertiga daripada graduan berpengalaman terus kekal dalam situasi ketidaksepadanan kelayakan, satu perempat masih bergaji rendah sejak pekerjaan pertama akibat memulakan kerjaya dengan pekerjaan bawah kelayakan dan bergaji rendah.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427