Life Water tak terkesan kenaikan cukai minuman bergula tahun depan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Life Water Bhd, pengeluar minuman berpangkalan di Sabah yang membuat kemunculan sulung di Bursa Malaysia semalam tidak akan terkesan dengan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Januari tahun depan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

-Advertisement-

Pengarah Urusan Life Water, Liaw Hen Kong, berkata rangkaian minuman berkarbonat keluaran syarikat itu berada di bawah ambang lima gram per 100 milimeter (ml).

“Dengan kandungan gula yang konsisten, jenama minuman berkarbonat kami akan kekal tidak terjejas oleh cukai gula pada tahun depan.

-Advertisement-

“Kami tidak dikenakan cukai gula pada produk. Sama juga untuk tahun depan, kerana kami tidak melebihi ambang yang ditetapkan,” katanya pada sidang media sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini.

Saham Life Water Bhd dibuka kukuh pada harga harga 77 sen sesaham mewakili premium sebanyak 18.5 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 65 sen.

Hen Kong berkata, syarikat juga merancang untuk mencapai kapasiti pengeluaran sebanyak 800 juta liter menjelang tahun 2027.

“Pengembangan ini berikut pembinaan Loji Keningau baharu kami yang dijangka siap menjelang Disember 2024 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 448 juta liter.

“Ini merupakan hampir dua kali ganda daripada kapasiti semasa kami di mana pertumbuhan ini akan menyokong usaha pengembangan kami ke wilayah baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Life Water memperoleh tanah di Tawau pada tahun ini, yang terletak berhampiran dengan Kalimantan.

“Kami sedang membina gudang di lokasi itu yang berkeluasan 3.5 ekar dan kami menganggap ia merupakan lokasi yang baik untuk pengembangan masa hadapan,” katanya.

Life Water menyasar mengumpul RM63.42 juta dengan menerbitkan 97.56 juta saham biasa baharu pada harga IPO 65 sen sesaham.

Menurut prospektus penyenaraiannya, berdasarkan modal saham diperbesar syarikat sebanyak 473.18 juta saham pada harga IPO, permodalan pasaran syarikat akan berjumlah kira-kira RM307.57 juta.

Syarikat itu berkata, kira-kira 84 peratus daripada jumlah hasil akan diperuntukkan untuk tujuan pengembangan perniagaan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427